Berita UtamaDunia

Rejim Israel mungkir janji, batal bebaskan Khalil Awawdeh

Penahanan ditambah kepada empat bulan dan tiga hari: PPS

 

RAMALLAH, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – Pihak berkuasa pendudukan Israel membatalkan perjanjiannya untuk membebaskan tahanan Palestin, Khalil Awawdeh daripada tahanan pentadbiran, selepas 111 hari mogok lapar.

Menurut Persatuan Tahanan Palestin (PPS), penahanan pentadbiran Khalil telah ditambah kepada empat bulan dan tiga hari lagi, walaupun mencapai perjanjian lisan dengan pihak berkuasa Israel untuk pembebasannya, yang mendorongnya untuk menangguhkan mogok lapar.

Khalil, bapa kepada empat anak, telah ditahan pada 27 Disember 2021, dan diletakkan dalam tahanan pentadbiran – dasar yang membenarkan pihak berkuasa Israel menahan rakyat Palestin untuk tempoh boleh diperbaharui selama enam bulan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.

Banduan Palestin berusia 40 tahun itu kini berada di Penjara Ramleh di tengah Israel selepas mengalami kesukaran untuk bercakap dan berkomunikasi selain sakit teruk di seluruh badan terutama di bahagian bawah anggota badan dan otot.

Susulan lawatan ke Penjara Ramleh minggu lalu, peguam PPS, Jawad Boulos melaporkan, selain kurang penglihatan, Khalil juga muntah darah dan sukar bernafas.

 

Dia sebelum ini dipindahkan ke hospital tetapi kemudian kembali ke klinik Penjara Ramleh, walaupun keadaan kesihatannya.

“Kesihatan Khalil berada dalam keadaan yang sangat kritikal, dan nyawanya terancam,” kata Ameen Shouman, ketua PPS, kepada New Arab.

“Pihak berkuasa Israel memberi janji lisan untuk membebaskan Khalil Awawdeh tanpa menyatakan tarikh.

“Ini adalah pertempuran yang sangat sukar untuk Khalil, dan nyawanya masih terancam,” katanya.

Menurut PPS, terdapat kira-kira 4,700 tahanan Palestin di penjara Israel, termasuk kira-kira 600 ditahan tanpa tuduhan atau perbicaraan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button