Berita Utama

UMNO tingkatkan persiapan hadapi PRU15

Jentera pilihan raya digerakkan di semua peringkat

KUALA LUMPUR, 25 Zulkaedah 1443H, Sabtu – UMNO sedang meningkatkan persiapan untuk pengundian awal dan menggerakkan jentera pilihan raya di seluruh negara.

Ini telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya ahli-ahlinya bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Telah diputuskan dalam mesyuarat bahawa jentera pilihan raya UMNO akan digerakkan di semua peringkat bersama-sama parti komponen Barisan Nasional yang lain.

“Ini bagi memastikan jentera pilihan raya Barisan Nasional berada pada tahap kesediaan tertinggi,” kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas mesyuarat majlis tertinggi parti.

Ditanya bila PRU15 mungkin diadakan, Ahmad berkata, Perdana Menteri yang akan membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau juga berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu Rang Undang Undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dan RUU Pembiayaan Politik diselesaikan sebelum PRU berlangsung.

UMNO telah mendesak agar PRU15 diadakan lebih awal sejak dua tahun lalu.

Gesaan mengadakan PRU oleh UMNO muncul semula baru-baru ini berikutan kemenangan berturut-turut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Penggal semasa Parlimen ke-14 berakhir pada pertengahan Julai 2023, dan pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Ahmad mengumumkan pelantikan bekas Kerua Penerangan Barisan Nasional Selangor, Isham Jalil sebagai ahli majlis tertinggi terbaharunya.

Beliau berkata, Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak prerogatif untuk melantik 13 ahli majlis tertinggi.

Beliau berkata, pelantikan Isham dilakukan bagi mengisi kekosongan jawatan selepas Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman disingkirkan daripada majlis tertinggi.

Tajuddin akan menjadi Duta Malaysia ke Indonesia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button