Berita Utama

335 notis kesalahan merokok dikeluarkan di sekitar KL

20 karton, 156 paket rokok tak bercukai dirampas kastam

KUALA LUMPUR, 26 Zulkaedah 1443H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 335 notis kepada individu dan pemilik premis atas pelbagai kesalahan merokok membabitkan kompaun berjumlah  RM93,350.

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 itu dikeluarkan menerusi operasi bersepadu penguatkuasaan tembakau dan hasil tembakau ke atas 263 premis yang diperiksa di sekitar ibu negara, malam tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, 284 notis dikeluarkan bagi kesalahan pelanggaran peraturan 11(1) PPKHT iaitu kesalahan merokok di kawasan larangan dan 28 notis dikeluarkan di bawah Peraturan 12(1)(b) terhadap pemilik atau penghuni premis yang gagal memastikan tiada kegiatan merokok di dalam premis.

“Selain itu, 14 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap tuan premis yang tidak mempamerkan papan tanda larangan merokok manakala tujuh notis lain ialah membabitkan larangan merokok terhadap orang belum dewasa serta masing-masing satu notis kegagalan mempamerkan larangan jualan tembakau kepada bawah umur dan jualan tembakau tanpa amaran kesihatan bergambar,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Operasi bersepadu itu berlangsung selama kira-kira lima jam bermula 6 petang disertai 220 anggota daripada KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Dr Norhayati berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 20 karton rokok dan 156 peket rokok tidak bercukai dirampas kastam di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 manakala KPDNHEP merampas sebanyak 147 peket rokok tiruan bagi kesalahan dagangan palsu di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011.

“Selain itu, DBKL juga turut mengeluarkan dua notis kompaun bagi kesalahan mengambil atau menggajikan pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah dan satu notis kompaun kerana berniaga tanpa lesen,” katanya.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button