Berita Utama

Hayat MN Pulau Pinang bergantung pada pimpinan pusat

UMNO-PAS negeri masih kekal ‘sahabat’ demi kepentingan ummah

TASEK GELUGOR, 26 Zulkaedah 1443H, Ahad – UMNO Pulau Pinang mengakui kewujudan Muafakat Nasional (MN) di negeri itu namun ‘jangka hayatnya’ kini bergantung kepada kata putus kepimpinan UMNO dan PAS di peringkat pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sehingga kini UMNO negeri masih kekal ‘bersahabat’ baik dengan PAS.

Malah, beliau sendiri masih berhubung dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Muhammad Fauzi Yusoff.

“Apa yang kita akan buat sekarang ialah tunggu dan lihat dulu macam mana.

“Tapi, apabila pusat (kepimpinan UMNO dan PAS) buat keputusan nanti, PAS Pulau Pinang pastinya akan ikut akan apa keputusan pemimpin buat. Kami, UMNO Pulau Pinang pun macam tu,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Mengulas lanjut, Musa berkata, hubungan baik antara UMNO dan PAS di negeri itu dijalinkan bukan atas dasar politik semata-mata, tetapi lebih kepada kepentingan ummah.

“Kita sebenarnya bukan fikir sangat pasal kerjasama politik dengan PAS, Soalnya, sebelum ini dah ‘berperang’ berpuluh tahun dah.

“Tapi hari ini, kita nampak sudah ada ‘kelonggaran’ dari segi hubungan UMNO dan PAS. Ketegangan pun dah tak ada, cuma, kalau boleh mahu teruskan kerjasama ini,” ujarnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button