Berita Utama

Syor guna nisbah 1 guru 25 murid kekang isu lambakan siswazah

iGuru cadang ganti program ijazah kurang relevan dengan landskap pendidikan semasa

BANGI, 17 Safar 1442H, Isnin – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) diminta segera menangani isu kelewatan panggilan temuduga guru Interim, setelah mereka tamat menjalani Program Diploma Perguruan Malaysia-Kursus Dalam Cuti (PDPM-KDC).

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, ada di kalangan mereka yang sudah lama menunggu panggilan temuduga melebihi dua tahun ke atas, terutama siswazah lepasan universiti awam.

Katanya, terdapat satu data menarik daripada laporan yang dikeluarkan Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam, ‘Analisis Data Graduan Pendidikan Universiti Awam’, yang mana menyatakan seramai 1,738 graduan universiti masih tidak dipanggil temuduga SPP kerana mereka baru sahaja menamatkan pengajian. 

“Jadi memang ada benarnya negara kita sedang menghadapi masalah lambakan graduan dan siswazah pendidikan yang masih belum mendapat panggilan temuduga SPP.

“… di samping penawaran guru tetap dan penempatan di sekolah-sekolah yang dilihat agak terhad bagi menampung lambakan ini,” katanya seperti dilapor Bernama, hari ini.

Ustaz Mohd Azizee turut menghurai data mengenai status kekosongan sebanyak 5,628 jawatan guru tetap di SK dan 1,125 jawatan di SJKC seluruh negara seperti yang didedahkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 13 Februari 2020. 

Daripada jumlah itu, katanya, hanya 2,482 guru Interim mendapat tempat di SK dan 480 orang lagi di SJKC.

“Jika dilihat data yang lebih besar pula berkaitan tawaran jawatan DG41 dan DG29 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setakat 2018, jumlah pemohon ialah 28,401 orang.

“… yang dipanggil temuduga ialah 5,549 orang, dan yang berjaya mendapat tawaran penempatan hanyalah 3,115 orang. 

“Jadi dapatlah kita bayangkan betapa ramai lagi siswazah pendidikan yang masih menunggu masa untuk terima tawaran temuduga SPP dan diserap masuk sebagai PPP bagi gred DG41 dan DG29,” katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Mohd Azizee tetap menasihatkan agar mereka dapat bersabar dan terus mengajar di sekolah yang ditetapkan.

Manakala, KPM dan SPP juga perlu memastikan tiada yang ketinggalan untuk diserap ke jawatan tetap setelah selesai temuduga dan lantikan tetap, katanya. 

 

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan KPM meneliti dan berbincang dengan pihak universiti untuk memansuhkan atau menggantikan beberapa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang semakin kurang relevan dengan landskap pendidikan semasa serta tidak memerlukan bilangan guru yang ramai.

Beliau juga mengesyorkan IPTA memberi penekanan serius dalam menghasilkan lebih ramai graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan menjurus pada kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Selain itu, katanya, KPM perlu menilai kembali pengunjuran nisbah pengambilan dan penempatan guru di sekolah-sekolah bersesuaian dengan jumlah murid dan memenuhi bidang keperluan tenaga mahir negara pada masa depan.

“Jika mengikut cadangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sepatutnya negara kita mengamalkan nisbah 1 guru untuk 15 orang murid, namun realiti yang berlaku sekarang ialah 1 guru untuk 35 ke 40 murid.

“Jadi kami mencadangkan supaya satu pengunjuran baharu nisbah ini perlu dibuat, dengan cadangan nisbah 1 guru untuk 20 ke 25 murid bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan membuatkan guru lebih fokus untuk mengajar dengan jumlah murid yang lebih sedikit dan relevan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button