Berita Utama

NUTP kecewa elaun guru pengawas SPM belum dibayar

Gesa Lembaga Peperiksaan segerakan bayaran, semak semula kadar

BANGI, 26 Zulkaedah 1443H, Ahad – Walaupun peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 telah lama selesai, malangnya elaun kepada guru pengawas peperiksaan sehingga kini masih belum dibayar sepenuhnya seperti yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM).

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) meluahkan kekecewaan terhadap masalah kelewatan bayaran elaun tersebut.

Pengerusi NUTP, Aminuddin Awang berkata, guru yang terlibat sanggup mengorbankan waktu cuti dan tenaga demi menjalankan amanah, justeru bayaran elaun wajar disegerakan serta perlu lebih setimpal.

“Sebahagian besar daripada waktu peperiksaan SPM berlangsung dalam cuti pertengahan penggal dan dalam hal ini guru yang bertugas sebagai pengawas peperiksaan ini sudah pastilah kehilangan waktu cuti kerana terpaksa bertugas.

“Ditambah pula dengan kelewatan dari segi pembayaran ini saya rasa adalah sesuatu yang cukup mengecewakan,” katanya.

Justeru, beliau menggesa elaun berkenaan disegerakan selain dinilai semula supaya dapat memberi motivasi kepada petugas peperiksaan untuk SPM 2022 selain mengelakkan masalah kesukaran mendapatkan petugas kelak.

NUTP juga turut menggesa Lembaga Peperiksaan (LP) mencari solusi yang lebih berkesan dalam menangani masalah berkenaan selain meneliti semula kadar bayaran.

“Sebelum ini NUTP sudah beberapa kali membuat permohonan supaya elaun kepada guru pengawas peperiksaan ini dapat ditingkatkan selaras dengan perkembangan semasa ekonomi negara dan dunia,.

“Namun sehingga kini, tiada jawapan daripada KPM dan bayaran masih dikekalkan” katanya.

8 Jun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu beliau akan mengarahkan tuntutan bayaran dan elaun perjalanan guru pengawas SPM dibayar mulai 9 Jun, namun sehingga kini ada sebahagian guru yang belum mendapat elaun berkenaan.

Peperiksaan SPM bermula 8 Februari sehingga 29 Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button