Berita Utama

PRU15: Guna logo PAS atau PN akan ditentu dalam mesyuarat

Ada negeri mahu pertahan logo 'bulan', tapi Kedah boleh guna dua-dua

BANGI, 26 Zulkaedah 1443H, Ahad – Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) akan menentukan sama ada PAS akan menggunakan logo tradisi imej bulan atau logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) tidak lama lagi.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ketika ini terdapat banyak pandangan mengenai penggunaan logo berkenaan.

Beliau berkata, ada kepimpinan PAS di negeri tertentu merasakan terdapat keperluan untuk parti itu bertanding menggunakan logo ‘bulan’ yang sudah diguna pakai sejak sekian lama.

“Namun, ada di negeri-negeri lain termasuk di Kedah, merasakan kedua-dua logo itu boleh digunakan.

“Semalam saya ada di Kelantan dan pandangan PAS negeri itu, mereka merasakan lebih sesuai untuk bertanding menggunakan logo parti di sana,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa keputusan mengenai penggunaan logo termasuk di negeri-negeri lain bergantung kepada perbincangan.

“Di Kedah ini nak guna logo PN boleh, PAS pun boleh,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Menteri Besar Kedah itu berkata, terdapat ‘rahsia’ dalam penggunaan logo yang perlu difikir dan dibincangkan bagi berdepan PRU15.

“Kalau logo digunakan itu menggambarkan kita dalam satu pakatan itu akan beri keyakinan lebih besar kepada rakyat serta pengundi mengenai kesepakatan yang dibina.

“Manakala jika kita gunakan logo yang menggambarkan parti ini bersendirian, itu akan beri kesan lain dari segi psikologi kepada pengundi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button