Dunia

Wabak cacar monyet bukan kecemasan kesihatan awam: WHO

Saran negara anggota kerjasama, libat diri dengan komuniti terjejas

GENEVA, 26 Zulkaedah 1443H, Ahad – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu menyatakan penyakit cacar monyet yang kini merebak di lebih 50 negara belum boleh dikategorikan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam antarabangsa, tahap amaran tertinggi WHO, lapor Xinhua.

Bagaimanapun, menurut sebahagian anggota Jawatankuasa Kecemasan WHO dalam satu laporan selepas bermesyuarat pada Khamis, risiko jangkitan telah merebak lebih meluas serta semakin meningkat ke atas populasi dan tidak boleh dibiarkan.

Laporan itu juga menyatakan aktiviti virus cacar monyet telah diabaikan dan tidak dikawal dengan baik selama bertahun-tahun di negara-negara di Wilayah Afrika WHO.

“Mesyuarat yang diadakan jawatankuasa itu sendiri mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penuaran cacar monyet di peringkat antarabangsa,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga bersedia untuk bertemu semula bagi menilai perkembangan wabak berkenaan. 

Jawatankuasa itu turut menggariskan beberapa syarat untuk penilaian semula perlu dibuat seperti peningkatan kadar pertumbuhan kes yang dilaporkan dalam tempoh 21 hari akan datang, penularan jangkitan yang lebih ketara di dalam dan ke luar negara, pertambahan bilangan kes melibatkan kumpulan rentan, peningkatan morbiditi, kematian dan kadar kemasukan ke hospital.

Tedros menyeru agar pengawasan dan diagnostik dipertingkatkan, penglibatan komuniti dan komunikasi risiko, penggunaan terapeutik, vaksin dan langkah kesihatan awam yang sesuai termasuk pengesanan kontak dan kuarantin.

Negara anggota juga disaran untuk bekerjasama, berkongsi maklumat dan melibatkan diri dengan komuniti terjejas supaya langkah keselamatan kesihatan awam dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

Pelbagai kluster virus cacar monyet telah dilaporkan dalam beberapa minggu yang lalu di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara, wilayah yang biasanya virus itu tidak ditemui.

Endemik cacar monyet secara geografi terhad kepada Afrika Barat dan Tengah, manakala pengesanan kes cacar monyet yang disahkan dan disyaki tanpa sebarang sejarah perjalanan ke kawasan endemik di beberapa negara adalah tidak bersifat lazim, menurut WHO.

Cacar monyet atau monkeypox, pertama kali dikesan dalam monyet makmal pada 1958, diandaikan menular daripada haiwan liar seperti tikus kepada manusia, atau dari manusia kepada manusia.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button