81 hari mogok lapar, Ra’ed Rayyan kini kritikal
Turun berat badan mendadak, kurang vitamin dan protein
RAMALLAH, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Tahanan Palestin, Ra’ed Rayyan meneruskan mogok lapar selama 81 hari berturut-turut, bagi menuntut pihak berkuasa haram Israel menghentikan penahanan pentadbiran yang tidak adil terhadapnya.
Jurucakap Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, Hasan Abed Rabbo berkata, Rayyan kini ditahan di Hospital Penjara Ramla kerana mengalami penurunan berat badan yang mendadak.
Katanya, keadaan kesihatan juga semakin merosot akibat kekurangan vitamin dan protein, selain pening kepala, kerap muntah serta sakit di seluruh badan.
Khamis lalu, pihak berkuasa Israel mengingkari janji untuk tidak memperbaharui penahanan pentadbiran Khalil Awawda, 40, – yang telah melakukan mogok lapar selama 111 hari.
Dasar penahanan pentadbiran Israel yang dikutuk secara meluas membenarkan rakyat Palestin dipenjara tanpa pertuduhan atau perbicaraan untuk selang masa yang boleh diperbaharui, biasanya antara tiga dan enam bulan.
Setakat ini, penjajah Israel menahan lebih 500 rakyat Palestin dalam tahanan pentadbiran, yang dianggap haram oleh undang-undang antarabangsa.
Kebanyakan tahanan itu adalah bekas banduan yang pernah menghabiskan masa bertahun-tahun dalam penjara kerana penentangan terhadap penjajahan Israel.- Agensi