Berita Utama

Gerakan supaya Zahid Hamidi berundur pernah dibincang, dakwa Tajuddin

Perbincangan diketuai Tok Mat dan Najib pada Mei 2020

BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Usaha supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada jawatan pernah dibincang kepimpinan parti tersebut.

Mendedahkan perkara itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, perbincangan itu dibuat pada Mei 2020 dan diketuai Datuk Seri Mohamad Hasan dan turut disertai Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Perbincangan berkenaan dibuat bagi menyatakan kebimbangan kes-kes mahkamah yang terpalit pada presiden itu sekali gus boleh menjejaskan imej UMNO.

“Tok Mat dan Bossku (Najib) dan lain-lain yang saya sebutkan tadi kita nak buat satu memorandum. Ia pada Mei 2020 dan Perhimpunan itu dibuat di rumah saya.

“Kita nak minta dia turun secara baik. Kita tak naklah tendang-tendang. Minta kita buat tinjauan ketua-ketua bahagian,” katanya.

Beliau berkata, tindakan itu mendapat sambutan positif daripada beberapa ketua bahagian yang bersetuju dengan gerakan berkenan.

“Saya ingat 130 orang ketua bahagian. Perak 18 orang ketua bahagian. Selangor 17 ke apa,” katanya.

Terdahulu, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak digugurkan daripada ahli MKT UMNO.

Pengguguran beliau dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam satu surat dikeluarkan pada 24 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button