Berita Utama

Lebuhraya KL-Karak ditutup sementara

Laluan dibuka esok, pengguna dinasihat rancang perjalanan

BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad akan menutup sebahagian Lebuhraya KLK di kedua-dua arah selama 30 minit, dari jam 11 malam ini bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan ECRL.

Pengurus Besar ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, penutupan itu bertujuan memudahkan laluan jentera berat yang terlibat dengan terowong ECRL di Genting.

“Laluan di kedua-dua arah Lebuhraya KLK akan ditutup sepenuhnya dari KM55.35 sehingga KM55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“ANIH Berhad ingin menasihati pengguna untuk merancang perjalanan dan jika perlu, mempercepatkan atau menangguhkan perjalanan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selepas jam 11.30 malam ini, hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada para pengguna.

Katanya, ANIH Berhad menjangkakan laluan akan dibuka sepenuhnya di semua arah pada jam 5 pagi esok.

Radzimah turut mengingatkan pengguna untuk memandu dengan berhemah dan mematuhi arahan petugas di lokasi serta memastikan kenderaan sentiasa dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan.

Maklumat lanjut dan terkini boleh dirujuk laman sosial Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)/ ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi hotline LLM 1800-88-7752 dan LPT 1-700-818-700.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button