Dunia

Mangsa gempa Afghanistan berisiko dijangkiti taun

PBB beri amaran wabak merebak kerana kurang bekalan air bersih

KABUL, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Ribuan penduduk di timur Afghanistan – yang terjejas gempa bumi – berisiko dijangkiti penyakit kerana kekurangan bekalan air bersih dan makanan.

Kebimbangan itu dinyatakan jurucakap kementerian kesihatan Afghanistan, Sharafat Zaman pada Ahad, beberapa hari selepas agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai wabak taun di wilayah berkenaan.

Sekurang-kurangnya 1,000 orang terbunuh, manakala 2,000 yang lain cedera dan 10,000 rumah musnah dalam kejadian gempa bumi pada Rabu lalu.

Susulan kejadian itu, pejabat kemanusiaan PBB (OCHA) memberi amaran bahawa wabak taun menjadi kebimbangan utama ketika ini.

“Rakyat perlukan makanan dan air bersih. Pihak berkuasa juga telah menguruskan ubat-ubatan buat masa ini, tetapi mengendalikan mereka yang kehilangan tempat tinggal akan menjadi satu cabaran.

“Kita minta masyarakat antarabangsa, organisasi kemanusiaan untuk membantu dari sudut makanan dan ubat-ubatan.

“Ini kerana mangsa yang terselamat gempa mungkin dijangkiti penyakit kerana tiada rumah serta tempat perlindungan sesuai untuk tinggal,” katanya.

Bencana itu adalah ujian besar bagi pemerintah Taliban – yang dipinggirkan oleh banyak kerajaan asing kerana kebimbangan mengenai hak asasi manusia sejak menguasai Afghanistan tahun lalu.

Membantu beribu-ribu rakyat Afghanistan juga menjadi cabaran bagi negara-negara yang telah mengenakan sekatan ke atas badan dan bank kerajaan negara itu, memotong bantuan langsung sehingga membawa kepada krisis kemanusian walaupun sebelum gempa bumi berlaku.

Bagaimanapun, PBB dan beberapa negara lain telah mempercepatkan bantuan ke kawasan terjejas.

Pentadbiran Taliban menggesa supaya sekatan ditarik balik termasuk pembekuan berbilion dolar dalam aset bank pusat yang disimpan dalam institusi kewangan Barat.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button