Berita Utama

Mat Kilau cetus fenomena, penonton ke pawagam siap busana Melayu, bertanjak

Ada yang mula mahu belajar silat, lebih hargai tanah air

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencetuskan2 fenomena dan mencatat rekod luar biasa sejak hari pertama tayangannya di pawagam pada 23 Jun lalu.

Dengan rekod pembukaan yang mengagumkan sebanyak RM1 juta, filem terbitan Studio Kembara itu terus mencatatkan kejayaan apabila memecah rekod ‘box-office’ dalam tempoh dua hari dan mengutip RM12.2 juta setakat empat hari tayangannya.

Fenomena filem epik Melayu itu bukan hanya dilihat pada kutipan tiket semata-mata, bahkan terhadap keterujaan penontonnya yang siap berpakaian tradisi Melayu iaitu tanjak dan songket.

Bukan hanya dalam kalangan penonton dewasa, pemakaian tanjak turut dilihat pada penonton ‘cilik’.

Malahan, ada juga yang mula berminat untuk mempelajari seni silat dan menjadi rakyat yang lebih menghargai tanah air.

“Segak berbaju Melayu, siap bertanjak tengok filem Mat Kilau. Takkan Melayu hilang di dunia,” kata Din Said menerusi komen di Facebook. 

“Harap-harapnya hari ni boleh beli tiket Filem Mat Kilau. Saya nak bawa anak-anak pula tengok.  

“Yang pasti, sekali lagi saya akan bertanjak untuk menonton filem ini.  Memang luar bisa. Jom sokong industri filem kita,” kata Dr Tengku Asmadi.

“Fenomena memartabatkan bangsa Melayu sedang berlaku, manis nya mekar sulam penuh elemen Melayu. 

“Lagi molek jika dipadankan bersama baju Melayu hitam bertanjak hitam,” demikin kata Wawa Halim.

Filem arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof yang menelan belanja RM8 juta ini ternyata memberi impak mendalam kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan muda.

Biarpun ada segelintir suara sumbang yang tidak senang dengan keghairahan penonton meraikan filem berunsurkan perjuangan bangsa ini, ia tidak sesekali melunturkan semangat mereka untuk mezahirkan roh kemelayuan itu.

Bahkan, pengarah Aziz M Osman turut menyokong semangat penonton bertanjak menyaksikan filem Mat Kilau, dan menganggap jika negara luar seperti Jepun tidak berkimono menonton filem budaya mereka, tiada salah untuk orang Melayu berpakaian tradisi sendiri di pawagam.

Justeru, tidak wajar untuk memerli atau memperlekehkan mereka yang berbusana lengkap bersampin dan bertanjak, sekali pun ia dianggap bermusim.

Sekurang-kurangnya busana Melayu  tidak malu dikenakan pada hari biasa di tempat awam, dan bukan sekadar dipakai untuk persembahan teater atau majlis perkahwinan semata-mata.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button