Berita UtamaDunia

Mufti Baitulmaqdis kecam tindakan gali lubang di kawasan Masjid Al-Aqsa

Tindakan berterusan undang bahaya, risiko sebabkan masjid runtuh

BAITULMAQDIS, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Mufti Besar Baitulmaqdis dan Palestin, Mohammad Hussein mengecam tindakan Pihak Berkuasa Antikuiti Israel (IAA) dan kumpulan peneroka haram Yahudi, Elad yang menggali lubang di kawasan di Masjid al-Aqsa.

Tindakan dilakukan IAA yang bekerjasama dengan kumpulan peneroka Elad itu hanya akan menyebabkan bangunan masjid itu runtuh.

“Sehingga kini penggalian lubang berterusan dan tidak henti-henti sejak beberapa hari lalu dan terbaharu mereka meningkatkan usaha lagi menggali di beberapa tempat lain di kawasan masjid ini yang ternyata boleh membahayakan keadaan,” katanya.

Pada masa sama, Mohammad Hussein turut mengecam rancangan Israel mendaftar pemilikan harta sekitar kawasan Masjid Al Aqsa di atas nama peneroka haram.

Beliau memberi amaran langkah berbahaya itu merupakan usaha kumpulan berkenaan untuk menguasai Baitulmaqdis.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai cubaan sabotaj selain cubaan untuk mengubah ciri sejarah dan keagamaan tapak bersejarah tersebut.

Sebelum ini, pihak berkuasa agama Islam di Baitulmaqdis Timur mempersoalkan kerja penggalian mencurigakan oleh Israel, di sekitar Masjid al-Aqsa.

Majlis Wakaf Islam, Hal Ehwal dan Tanah Suci berkata, kerja itu dijalankan di kawasan bersebelahan dengan kawasan di luar Masjid al-Aqsa oleh agensi antikuiti Israel dan kumpulan peneroka haram, Elad.

“Sekumpulan pekerja dengan jentolak dan peralatan penggali bekerja dengan tergesa-gesa serta mencurigakan di kawasan itu,” kata pihak berkuasa itu dalam satu kenyataan.

Tanah dialihkan dan lubang sedang dibuat di dinding ke arah selatan masjid. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button