Pendapat

Pencetus bangsa Melayu kembali melakar kegemilangan

Kisah dan sejarah jadi nadi yang mengalir dalam diri umat

FENOMENA filem Mat Kilau menunjukkan sejarah, penceritaan dan keseniaan mempunyai peranan besar dalam membawa semangat perjuangan terutama pada jiwa bangsa Melayu. Namun tanpa kita sedari perkara ini bukanlah suatu hal yang baru, ia telah lama mengalir dalam diri moyang kita sejak dahulu lagi.

Saya mengandaikan mungkin ada faktor jiwa, kekuatan khayalan dan budaya fikir bangsa ini yang tersendiri terhadap ilmu menyebabkan dirinya sangat terkesan dengan pengajaran kisah-kisah berbanding lainnya.

Kisah dan sejarah menjadi nadi yang mengalir dalam diri umat ini. Dikisahkan bangsa Melayu ketika pelayaran akan bawa seorang pencerita sebagai teman pemusafiran, raja-raja apabila ingin ditabal akan adanya penceritaan kisah-kisah terdahulu pada majlis tersebut. Dekatnya bangsa ini dengan penceritaan sehingga pada abad ke 19 disebutkan:

Kebanyakan dari mereka duduk membaca sejarah dan siarah raja raja Melayu dan bercakap akan hal dan peraturan dahulukala (Kisah Pelayaran ke Riau).

Seorang pengkaji Dr Hussain Othman menyebutkan oleh sebab ini Sulalatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan lain-lain ditulis dengan caranya tersendiri. Dia menyebut ramai tersalah tanggap dengan menilai penulisan ini seperti penulisan ‘sejarah biasa’ yang terikat dalam bentuk laporan peristiwa lalu mereka kecewa. Sedangkan kitab-kitab ini ditulis sebagai sebuah ibrah dan dipandang dalam kerangka konsep masa-ruang yang tersendiri.

Disebut dalam Sulalatus Salatin saat Raja menitahkan untuk dikarang kitab ini: “…supaya diketahui oleh segala anak cucu kita yang kemudian daripada kita, diingatkannya oleh mereka itu, syahadan beroleh faedahlah ia daripadanya”

Maka kaca mata bangsa ini terhadap masa lalu bukanlah laporan peristiwa yang kering seperti dipaksakan dalam pensejarahan hari ini, tetapi ia melihat sebagai suatu perkara yang hidup, ibrah yang menyuluhnya memandu ke masa hadapan. Sejarah dan Budaya adalah antara paksi kekuatan yang perlu kita pelihara dan semaikan bagi membangun peradaban masa hadapan.

Ketika melihat ramainya umat Melayu bersemangat, berkobar selepas keluar menonton filem ini, saya teringat bagaimana diceritakan bagaimana nenek moyang kita dahulu juga memilih ‘filem’ (kisah) sebagai inspirasi mereka sebelum keluar jihad menentang Portugis.

Disebut dalam Sulalatus Salatin: Maka Sultan Ahmad Syah pun mengampungkan orang, dan disuruh berhadir senjata;…segala hulubalang dan segala anak tuan-tuan semuanya bertunggu di balairung. Maka kata segala anak tuan-tuan itu, “Apa kita buat duduk saja ini? Baik kita membaca hikayat perang, supaya kita beroleh faedah daripadanya.”

Moga hikayat filem Mat Kilau ini juga memberi faedah sebagai langkah pertama bagi bangsa yang mulia ini untuk kembali melakar kegemilangan masa hadapannya.

Ustaz Muhammad Firdaus Zailani

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button