Berita Utama

Selesaikan dahulu isu perut rakyat, baru fikir pilihan raya: Dr Shamsul Amri

‘Lebih baik tunggu tempoh penggal berakhir, kalau tak nanti ganti lagi Perdana Menteri’

BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Daripada terlalu sibuk mendesak supaya Pilihan Raya Umum Ke- 15 (PRU 15) diadakan dalam masa terdekat, ahli politik disaran supaya memikirkan isi perut rakyat terlebih dahulu.

Pandangan berkenaan disuarakan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, buat masa ini perkara itu perlu didahulukan berbanding memikirkan desakan yang mahu PRU dilakukan.

“Sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRU apatah lagi dalam keadaan rakyat berdepan masalah termasuk isu harga barang.

“Ini pandangan peribadi saya berdasarkan pengalaman ilmiah selama 45 tahun, isu antara perut dan PRU, yang manakah patut didahulukan, cuba fikir dan hurai kenapa,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, isu PRU ke-15 mula semakin hangat diperkatakan menjelang tempoh akhir memorandum persefahaman antara pihak kerajaan dan pembangkang pada 31 Julai depan.

Malah, ramai tokoh UMNO berpendapat tempoh masa ini merupakan peluang terbaik kerana parti itu berada dalam keadaan diterima rakyat manakala pembangkang pula sebaliknya terus lemah.

Namun, Prof Shamsul Amri berkata, adalah lebih baik sekiranya menunggu sehingga akhir tempoh satu penggal.

“PRU pada ketika ini saya rasa yang lebih baik tunggulah akhir tempoh, kalau tidak nanti ganti lagi Perdana Menteri.

“Perut kosong mereka ini, kena juga dijaga, kerana ia boleh jadi isu besar apabila terpaksa pergi mengundi dalam keadaan kelaparan, siapakah yang akan dipangkah kelak?,” soalnya.

Malah, tegas beliau, apabila berlaku peralihan kerajaan sehingga bertukar empat kali perdana menteri hanya dalam tempoh satu penggal, ia disifatkan sebagai satu situasi yang aneh.

Beliau merujuk trend di kebanyakan negara maju yang menyaksikan jawatan ketua kerajaan boleh bertukar tiga kali dalam satu penggal sehingga mengakibatkan suasana politik tidak stabil.

“Empat Perdana Menteri satu pilihan raya, four in one, tak pernah dibuat. Three in one ya, tapi four in one tak pernah kita buat.

“Jadi ini isu-isu yang saya fikir harus difikirkan mereka yang memerintah. Saya berpandangan isu perut (nasib rakyat) selesaikan dahulu,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan isu ini kepada ahli-ahli politik untuk memikirkannya kerana mereka lebih bijak dan hebat menilai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button