Berita Utama

Tak mustahil India jadi seperti negara haram Israel

‘Umat Islam sebenarnya telah hilang satu wilayah, sejarah peradaban besar bila benarkan genosid berlaku di India’

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Penganiayaan yang berterusan kepada umat Islam di India buat masa ini dilihat sebagai proses kemuncak kepada proses genosid – bentuk jenayah yang bertujuan menghapuskan kewujudan sesuatu suku kaum manusia – serta penjarahan ke atas umat Islam di negara tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Ustaz Syed Ahmad Isra’a Syed Ibrahim berkata, walaupun kes-kes yang berlaku terhadap umat Islam di sana adalah dahsyat dan boleh digelarkan ekstremis kerana mempunyai bukti yang cukup, namun ia tetap dinafikan oleh kerajaan India.

“Tetapi kita menyatakan genosid ini berlaku secara sistematik sejak satu kurun lebih iaitu semenjak British datang ke India lagi.

“Ini merupakan episod-episod panjang ke atas genosid, pembunuhan dan penghapusan dan penjarahan iaitu pengambilalihan tanah-tanah, pengambilalihan sumber-sumber kekayaan daripada umat Islam di India,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dimensi: Islam di India Semakin Dianiaya yang disiarkan di TV pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, Syed Ahmad Isra’a berpandangan, tidak mustahil India juga akan menjadi seperti negara haram Israel, dalam tempoh beberapa dekad akan datang.

“Macam yang berlaku di Palestin, ada orang Arab yang boleh duduk secara aman dengan syarat mengubah identiti walaupun mereka adalah muslim.

“Kita lihat semua ini juga telah berlaku, orang Islam perlu menjadi seperti orang Hindu apabila berada di India,” katanya.

Malah, tegasnya, tidak mustahil situasi sedemikian berlaku dalam tempoh satu dekad lagi atau kurang daripada tempoh itu.

Ekoran keadaan itu, katanya, umat Islam sebenarnya telah hilang satu wilayah, sejarah peradaban besar apabila membenarkan perkara ini berlaku di India.

“Adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk menghentikan usaha ini daripada berlaku dengan lebih cepat,” tegas beliau.

Pautan Dimensi:

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button