Undang-undang bankrap perlu dikaji semula secara menyeluruh
250,000 individu berada di ambang muflis
BANGI, 27 Zulkaedah 1443H, Isnin – Undang-undang kebankrapan perlu dikaji semula bukan hanya dari sudut nilai ambang muflis tetapi dari sudut keseluruhan sistem.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Malaysia wajar mengkaji apa dilakukan negara lain supaya negara ini mengubah suai undang-undang lebih mesra, bersifat kemanusiaan dan lebih mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.
“Dalam keadaan genting sekarang kira-kira 250,000 individu berada di ambang muflis dan sememang perlu ada perubahan undang-undang.
“Soal bankrap bukan perkara kecil ia melibatkan soal kehidupan dan sekiranya diisytiharkan muflis di Malaysia, ia adalah lebih teruk daripada dijatuhi hukuman mati.
“Jadi, sangat dan amat perlu undang-undang berkaitan bankrap dikaji semula untuk membantu golongan yang dibelenggu masalah itu terutama membabitkan golongan muda,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengatakan beliau akan berbincang dengan Wan Junaidi serta Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berhubung hasrat kerajaan untuk mengkaji semula undang-undang berkaitan kebankrapan.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, beliau mempunyai beberapa pandangan namun mahu perkara itu dibentangkan kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.
Katanya, walaupun terdapat halangan daripada pihak tertentu, beliau berpendapat dalam keadaan sekarang, undang-undang bankrap perlu diubah dan sekiranya dibiarkan akan menyebabkan lebih ramai diisytiharkan muflis.
Beliau berkata, semua pihak daripada agensi insolvensi dan BNM sendiri mesti mengadaptasi perubahan untuk membantu rakyat Malaysia.
“Ini kerana undang-undang sedia ada sangat terdorong dengan sistem kapitalis yang tidak menghiraukan nasib orang biasa di peringkat bawahan,” katanya.