Berita UtamaDunia

12 maut, 251 cedera gas bocor di pelabuhan Jordan

PM tubuhkan pasukan siasatan kena lpasti punca kejadian

AMMAN, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Sekurang-kurangnya 12 individu terkorban manakala 251 yang lain mengalami kecederaan apabila berlaku kebocoran gas klorin di tempat penyimpanan tangki Pelabuhan Aqaba, Jordan semalam.

Kejadian dikesan selepas tangki yang diisi dengan 25 tan gas klorin yang akan dieksport ke Djibouti terjatuh ketika proses penghantaran.

Video yang dimuat naik saluran televisyen tempatan menunjukkan tangki berkenaan terhempas jatuh ke dek kapal berkenaan diikuti pengeluaran gas berwarna kuning memenuhi ruang udara sekali gus menyebabkan pekerja-pekerja di kapal melarikan diri.

Klorin merupakan alat pembasmi kuman dan agen penulenan air yang digunakan secara meluas namun sekiranya terhidu, gas akan bertukar kepada asid hidroklorik.

Ia boleh menyebabkan individu yang menghidu gas berkenaan akan mengalami sesak nafas dan berdepan masalah kesihatan yang serius.

Kerja-kerja di pelabuhan terpaksa dihentikan bagi memberi laluan kepada pemeriksaan ke atas bijirin-bijirin yang akan dieksport.

Pelabuhan Aqaba yang terletak di utara Laut Merah telah lama menjadi laluan transit utama bagi eksport dan import ke Iraq.

Sementara itu, Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh yang tiba di Pelabuhan Aqaba terus menuju ke hospital yang menempatkan mangsa cedera menerima rawatan.

Beliau juga menyatakan satu pasukan siasatan akan ditubuhkan segera yang akan dipengerusikan Menteri Dalam Negeri dalam mengenal pasti punca kejadian yang sebenar. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button