Anwar Ibrahim digesa buat kenyataan balas dakwaan Tajuddin
Sikap hipokrasi pemimpin PH amat memualkan

KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Datuk Seri Anwar Ibrahim didesak tampil membuat kenyataan berhubung dakwaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengenai kewujudan komplot menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya mendesak Ahli Parlimen Port Dickson untuk wajib tampil memberi justifikasi mengenai kesediaan beliau mendapatkan sokongan kluster mahkamah untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.
“Apakah yang beliau telah janjikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kluster mahkamah bagi memenuhi obsesi patologikalnya untuk bergelar seorang Perdana Menteri?,” demikian soal Timbalan Pengerusi Biro Penerangan Bersatu, Dr Afif Bahardin, dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tajuddin mendakwa bahawa beliau adalah saksi hidup terhadap pengumpulan akaun bersumpah (SD) yng diketuai Presiden UMNO menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan selepas kejatuhan kerajaan PN.
Berikutan itu, Afif berkata, sikap hipokrasi pemimpin Pakatan Harapan (PH) amat memualkan kerana tanpa segan silu menyelar ahli politik PN sebagai pengkhianat.
“Tetapi diam seribu bahasa apabila terbukti Presiden PKR sendiri sanggup menerima sokongan Ahli Parlimen daripada kluster mahkamah,” katanya.