Pendapat

Melayu bangsa pejuang, tunjang negara ini

Filem Mat Kilau pencetus semangat kepada sesiapa yang menonton

FILEM Mat Kilau yang mula ditayangkan pada 23 Jun 2022 telah mencetuskan suatu fenomena baru dalam industri filem negara. Sehingga tulisan ini ditulis, filem arahan Syamsul Yusof yang dibarisi pelakon-pelakan terkenal tanah air telah berjaya mengutip RM 12 juta dalam masa empat hari ditayangkan di pawagam.

Rata-rata penonton memberikan komen cukup baik pada filem Mat Kilau yang diterbitkan oleh Studio Kembara. Di sini saya ingin kongsikan 3 noktah peribadi selepas menonton filem epik sejarah ini.

1. Hakikat Bangsa Melayu ialah sebuah bangsa Pejuang. Kita sering dimomokkan dengan perkara-perkara negatif tentang Bangsa Melayu. Melayu itu malas, Melayu itu perasuah, Melayu itu penagih, Melayu itu ini sehingga orang Melayu itu berasa hina dan kerdil dengan bangsa sendiri.

Namun, filem Mat Kilau ini berjaya menonjolkan hakikat sebenar Bangsa Melayu dan menjadi pencetus semangat kepada sesiapa yang menontonya.

2. Naratif perjuangan Bangsa Melayu jika diceritakan dengan betul amat mudah untuk difahami dan dihayati. Tidak kedengaran komen-komen seperti filem Mat Kilau ini rasis, kita tidak sepatutnya cakap pasal Melayu-melayu ini, kita ialah Bangsa Malaysia dan seumpanya.

Malah golongan-golongan yang sering menidakkan sejarah Tanah Melayu dan Bangsa Melayu seolah-olah bisu tiada kata. Itulah hebatnya sejarah Bangsa Melayu tunjang kepada negara Malaysia ini.

3. Tanggungjawab kembalikan kegemilangan Bangsa Melayu terletak pada setiap individu yang bergelar Melayu. Tunjang kekuatan Bangsa Melayu ialah Islam. Maka orang Melayu perlu kuatkan penghayatan terhadap agama Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Akhir kalam, ayah saya Bangsanya Tionghua dan ibu saya Melayu Jawa namun tidak sedikit pun saya keliru tentang pentingnya memahami sejarah Bangsa Melayu itu. Saya juga bersyukur kerana selama ini telah dikelilingi guru-guru mengajar sudut pandang yang betul tentang ajaran Islam dan sejarah Bangsa Melayu.

Filem Mat Kilau, sebuah filem yang perlu ditonton oleh semua masyarakat Malaysia.

Muhammad Yasin Ting Bin Muhammad Sufian Ting
Setiausaha ISMA Bangi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button