Berita Utama

Nur Jazlan anggap Tajuddin liabiliti sebenar UMNO

‘Tiada usul mana-mana bahagian desak Ahmad Zahid berundur’

JOHOR BAHRU, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman telah membuktikan  bahawa beliau adalah liabiliti sebenar kepada UMNO.

Beliau berkata demikian sekali gus mempersoalkan dakwaan Ahli Parlimen Pasir Salak itu bahawa 130 ketua bahagian tidak menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Tiada usul daripada mana-mana bahagian di seluruh negara yang mahu Ahmad Zahid berundur sebagai presiden parti.

“Malah UMNO, di bawah pimpinan Ahmad Zahid, berjaya melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) malah mesyuarat agung luar biasa (EGM) tanpa mana-mana bahagian menggesa beliau berundur,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Nur Jazlan mengingatkan pengkritik Ahmad Zahid dalam parti supaya menghormati keputusan yang dibuat semasa AGM dan EGM kerana ia datang dari akar umbi UMNO.

 Nur Jazlan bagaimanapun mengucapkan selamat maju jaya kepada Tajuddin dalam usaha seterusnya sebagai Duta Malaysia ke Indonesia.

“Saya berharap dan berdoa agar hubungan Malaysia dan Indonesia akan terus berkembang maju berikutan pelantikan beliau sebagai duta kami di sana,” katanya.

Dalam sidang media, semalam, Tajuddin mendakwa terdapat gerakan yang diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Najib Razak untuk menekan Ahmad Zahid supaya meletakkan jawatan sebagai presiden parti.

Tajuddin mendakwa rancangan itu adalah mengumpul tandatangan daripada ketua bahagian untuk memorandum mendesak peletakan jawatan Ahmad Zahid, dan kajian awal dalaman parti menunjukkan bahawa langkah ini disokong oleh 130 daripada 191 ketua bahagian UMNO.

Tajuddin, yang menunjukkan kepada pemberita gambar kononnya dari mesyuarat sulit berkaitan perkara itu, berkata, beliau juga boleh mendedahkan nama 130 ketua bahagian yang menyokong Ahmad Zahid meletak jawatan.

“Terdapat kira-kira 18 ketua bahagian di Perak dan 18 di Selangor yang menyokong perkara ini. Jika ada keperluan untuk menunjukkan senarai, saya boleh melakukannya.

“Tetapi tidak perlu menunjukkan, kerana saya melindungi rakan saya,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa rancangan untuk menyerahkan memorandum itu kepada Ahmad Zahid gagal apabila Mohamad tiba-tiba berundur selepas Timbalan Presiden UMNO itu diancam oleh ‘budak Zahid’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button