Berita Utama

Penjajah punca perpecahan Hindu-Islam di India

'British berjaya ‘ratah’ kerana orang dijajah sibuk bergaduh sesama sendiri’

BANGI, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Penjajah British punca berlakunya perpecahan antara pengikut hindu dan Islam di India yang berlarutan sehingga hari ini.

Naratif yang dibawa kononnya mereka pembela dan berjuang untuk membebaskan India, hakikatnya merekalah penjajah sebenar.

Ketua Pegawai Eksekutif IRIS Institute, Ustaz Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim berkata, sebelum ini penduduk India tidak kira Hindu, Buddha dan Islam boleh hidup dengan aman damai.

Namun, kehadiran British ke India telah mengubah pandangan masyarakat Hindu terhadap penganut Islam sehingga berlaku perpecahan sehingga kini.

“Sebelum ini penduduk India tidak kira Hindu atau Islam mereka hidup secara aman dan makmur. Ketika itu semua ada peluang melakukan aktiviti ekonomi dengan bebas.

“Teruknya penjajah ini mereka tidak menampakkan tindakan mereka sebagai penjajahan, sebaliknya mahu dilihat sebagai pembela dan membebaskan India,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dimensi: Ektremis Hindu Ancam Islam di India Semakin Dianiaya yang disiarkan di TV pertiwi, malam tadi.

Kata Syed Ahmad Israa’, British memulakan langkah dengan mencari arkeologi dan artifek – kononnya untuk membuktikan India bukan tanah Islam.

Penjajah menganggap tanah milik hindu lebih awal lagi – ini antara usaha yang mencetuskan perbalahan.

“Secara fakta sebelum Islam datang, di situ adalah Hindu dan Buddha namun mereka memeluk Islam secara sukarela

“British membawa cerita kononya semua penduduk di situ adalah Hindu namun dijajah oleh Islam,” katanya.

Pada masa sama, beliau berpandangan, British sebagai kapitalis berjaya ‘meratah’ dan melakukan apa sahaja yang mereka mahukan sewenang-wenangnya kerana orang yang dijajah sibuk bergaduh sesama sendiri.

“Inilah sebenarnya punca pergaduhan Hindu-Islam yang berlarutan sehingga kini dan puncanya adalah naratif yang dibawa oleh penjajah,” katanya.

Pautan Dimensi:

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button