Berita UtamaDunia

Sumber sahkan Hamas setuju pulih hubungan dengan rejim Syria

'Terdapat perbincangan antara gerakan Hamas, dalam dan luar negara'

GAZA, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Pegawai kanan Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) mengesahkan laporan bahawa gerakan Islam itu dalam usaha memulihkan hubungan dengan rejim Syria.  

Ketua Pejabat Perhubungan Arab dan Islam pergerakan itu, Khalil Al-Haya, memberitahu akhbar Lubnan Al-Akhbar hari ini bahawa Hamas ‘meluluskan’ langkah tersebut.

“Terdapat perbincangan dalam Hamas di dalam dan luar negara mengenai pemulihan hubungan dengan Syria.  

“Hasilnya ia telah dipersetujui,” kata Khalil.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut.

Sumber Palestin mendedahkan minggu lalu bahawa Hamas dan rejim Syria dalam proses membuka lembaran baharu dan memulihkan hubungan antara mereka selepas 10 tahun tegang.  

Sumber itu, yang enggan dikenali berkata, “Kedua-dua pihak bersetuju untuk membuka semula saluran komunikasi dan menjalankan dialog yang serius ke arah itu”.

Beliau menegaskan bahawa ‘usaha pengantaraan’ itu telah dibuat oleh pimpinan Hizbullah Lubnan sejak beberapa bulan lalu. 

Sumber itu menambah bahawa keputusan Hamas adalah ‘sebulat suara’.

Dari 1999 hingga 2012 kepimpinan Hamas berpusat di ibu negara Syria. Ia meninggalkan Damsyik berikutan tercetusnya revolusi Syria menentang rejim Assad. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button