Berita Utama

Terus pecah panggung, Mat Kilau cecah kutipan RM18 juta

Ungguli tempat pertama carta ‘Top 10 Movies GSC’

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terbitan Studio Kembara terus mendapat sambutan hangat setelah lima hari tayangannya apabila berjaya mencecah kutipan sebanyak RM18 juta.

Perkara tersebut dikongsikan TGV Cinemas menerusi laman sosialnya, hari ini.

Filem yang mula ditayangkan di pawagam sejak 23 Jun lalu itu turut mencipta kejayaan dengan mengungguli tempat pertama carta ‘Top 10 Movies GSC’.

Dalam pada itu, halaman rasmi Facebook Filem Mat Kilau menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan jitu para penonton menaikkan filem tempatan ini.  

“Terima kasih sokong Filem Mat Kilau. Pengalaman hebat menonton di pawagam membawa anda seolah-olah berada di sisi Mat Kilau. 

“Jom! Ajak beramai-ramai menonton di panggung wayang berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Studio Kembara turut menasihati orang ramai supaya tidak melakukan aksi yang bakal membawa kepada tindakan undang-undang dengan merakam babak-babak filem tersebut.

“Tidak berbaloi keghairahan anda menonton Mat Kilau berakhir dengan tangisan di penjara. 

“Semangat tonton filem Melayu itu sudah bagus. Semangat nak sebarkan pengajaran dari filem Melayu pun sangat bagus.

“Cuma, nak ‘berjuang’ biarlah kena dengan caranya. Niat langsung tidak menghalalkan cara. Sokong Filem Mat Kilau dengan ajak rakan-rakan pergi menonton di panggung wayang.

“Jangan sesekali rakam dan sebarkan. Tindakan undang-undang tegas akan diambil,” katanya.

Filem yang diilhamkan daripada tokoh sejarah Tanah Melayu itu diterajui Datuk Adi Putra yang memegang watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu turut disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi selaku Tok Gajah, Yayan Ruhian sebagai Toga, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin) termasuk pendatang baharu Ali Karimi sebagai Brahim.

Filem yang menelan belanja sebanyak RM8 juta itu menjalani penggambaran selama 100 hari dengan sebahagiannya dijalankan di Perak dan beberapa lokasi lain termasuk Pahang, Melaka dan Selangor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button