Berita Utama

‘Tiada wakil rakyat PAS Kelantan terbabit jenayah rasuah’

Kerajaan negeri tak terima apa-apa peruntukan Pusat dalam isu air

BANGI, 28 Zulkaedah 1443H, Selasa – Kerajaan negeri Kelantan tidak tergugat dengan dakwaan kononnya PAS gagal melaksanakan urus tadbir negeri secara baik.

Ketua Penerangan PAS negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, sesiapa sahaja boleh melemparkan tuduhan termasuklah bercakap tanpa berlandaskan fakta.

“Jika pihak berkenaan mempunyai fakta kukuh berhubung satu-satu isu mereka boleh mengemukakan perkara tersebut.

“Sebagai contoh, masalah air kita (kerajaan negeri) sudah jawab di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan kenapa kita ada masalah? Sebenarnya bukan Kelantan saja ada masalah air,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa Kelantan gagal ditadbir dengan sempurna oleh pimpinan PAS.

Dalam isu air, Mohd. Nassuruddin menjelaskan, sepanjang PAS memerintah Kelantan, kerajaan negeri tidak menerima apa-apa peruntukan daripada kerajaan Pusat.

Situasi itu menyebabkan kerajaan negeri terpaska menguruskan masalah berkenaan sendiri, katanya.

Selain itu tegasnya, pimpinan PAS Kelantan berjaya memimpin negeri Serambi Mekah dengan baik dan dibuktikan melalui tiada jenayah rasuah melibatkan pemimpin negeri.

Katanya, sepanjang mentadbir negeri ini tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS negeri itu yang didakwa terbabit dengan rasuah.

“Sejarah tersebut tidak boleh dinafikan oleh sesiapa. Orang boleh fitnah tapi tidak ada seorang pun wakil rakyat PAS yang didakwa di mahkamah terbabit rasuah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button