Berita UtamaDunia

Korea Selatan lulus guna vaksin COVID-19 buatan tempatan

Dalam proses dapatkan kebenaran untuk edar ke negara lain melalui COVAX

SEOUL, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Korea Selatan meluluskan vaksin COVID-19 pertamanya yang dibangunkan dalam negara oleh SK Bioscience Co Ltd untuk kegunaan awam berikutan data klinikal yang positif, kata pihak berkuasa.

Vaksin SKYCovione diluluskan bagi penggunaan dua dos membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas dengan suntikan diberikan pada selang empat minggu.

SK Bioscience berkata, dalam percubaan klinikal fasa III terhadap 4,037 orang dewasa, SKYCovione mendorong tindak balas antibodi neutral terhadap strain asal SARS-CoV-2.

Bagaimanapun, sejauh mana keberkesanan vaksin itu terhadap Omicron dan varian COVID-19 yang lain masih belum diketahui.

Vaksin itu dibangunkan bersama Institut Reka Bentuk Protein Universiti Washington, dengan sokongan syarikat ubat-ubatan global GlaxoSmithKline (GSK).

SK Bioscience berkata, ia akan mendapatkan kebenaran untuk pengedaran SKYCovione di negara lain melalui kemudahan perkongsian vaksin global COVAX.

Katanya, ia juga akan berusaha bagi penyenaraian penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sebelum ini, pihak berkuasa Korea Selatan bersetuju dengan perjanjian AS$155 juta (RM682 juta) bagi tujuan membeli 10 juta dos vaksin, yang boleh disimpan dalam keadaan penyejukan biasa.

Katanya, ia dijangka dilancarkan bermula separuh kedua tahun ini.

SK Bioscience kini sedang mengkaji kemungkinan penggunaannya untuk suntikan penggalak dan merancang bagi penggunaan untuk remaja dan kanak-kanak.

Menurut data Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, hampir 87 peratus daripada 52 juta penduduk Korea Selatan diberi vaksin sepenuhnya, dengan 65 peratus juga sudah mendapat suntikan penggalak. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button