Berita Utama

Trend TikTok: Guru patut lindung kanak-kanak dari budaya tak wajar

BKM ISMA kesal video murid tadika tiru trend 'Marry Me Challenge'

BANGI, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Guru sewajarnya melindungi kanak-kanak terutama seawal peringkat tadika dan prasekolah daripada sebarang budaya yang tidak wajar khususnya di media sosial.

Justeru, Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) ISMA kesal dengan kejadian yang berlaku di sebuah tadika membabitkan video murid yang meniru trend ‘Marry Me Challenge’ sehingga tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Video itu memaparkan murid menyarungkan cincin di jari seorang kanak-kanak perempuan dan kemudian berjoget, seperti mana trend yang sedang popular di aplikasi TikTok ketika ini.

Pengerusi BKM, Hajah Asma Ahmad berkata, sudah menjadi budaya masyarakat sekarang meniru semua aksi atau lakonan yang tular di aplikasi TikTok, Instagram dan juga Twitter tanpa mengira baik buruknya.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku di dalam masyarakat kita apatah lagi aksi ini disuruh oleh guru kanak-kanak tersebut.

“Justeru, BKM ISMA ingin menyeru kepada semua pengusaha tadika agar menjadikan sekolah sebagai sebuah taman didikan kanak-kanak yang mempunyai persekitaran pembelajaran yang selamat dan kanak-kanak diajarkan ilmu berguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Serentak itu, beliau mengesyorkan supaya aktiviti yang dijalankan bersifat kreatif dan menyeronokkan mengikut garis panduan syarak.

Katanya, ini selari dengan objektif pendidikan prasekolah iaitu melahirkan murid yang mampu mengamalkan nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.

“Guru tadika juga memainkan peranan penting kepada kanak-kanak. Mereka adalah model kepada kanak-kanak selain bertanggungjawab sebagai pendidik, pembimbing dan pengasuh kanak-kanak,” katanya.

Difahamkan, video tular berkenaan telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button