Berita Utama

Jenazah pesakit COVID-19 boleh dimandi, dikafankan

Tiada ketetapan jumlah waris terlibat upacara kebumi tapi perlu pakai PPE

KUALA LUMPUR, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tatacara pengurusan jenazah Islam yang dijangkiti COVID-19 dibenarkan untuk dimandi dan dikafankan dengan amalan langkah berjaga-jaga, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, urusan mandi dan kafan akan dilakukan oleh pengendali jenazah yang terlatih di hospital dengan pemakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap dan bersesuaian serta mengelakkan aktiviti yang berunsur prosedur penjanaan aerosol (AGP).

Beliau berkata, selain itu hanya dua orang waris dengan status vaksinasi lengkap serta memakai PPE yang lengkap dibenarkan membantu urusan memandikan dan mengafankan jenazah di hospital.

“KKM ingin memaklumkan tatacara pengurusan jenazah Islam dan bukan Islam yang dijangkiti COVID-19 disemak semula agar ia relevan dengan situasi semasa.

“Semakan semula ini juga adalah sejajar dengan Resolusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ketiga Tahun 2021 yang bersidang pada 26 Julai 2021,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, KKM menetapkan tatacara pengendalian jenazah pesakit COVID-19 beragama Islam hanya melakukan proses tayamum di atas permukaan paling luar beg jenazah tanpa perlu dimandikan dan diuruskan sepenuhnya di hospital tanpa penglibatan waris.

Sementara itu, bagi pengurusan mayat bukan Islam yang dijangkiti COVID-19, Khairy berkata, sekiranya prosedur last rite atau upacara terakhir memerlukan penukaran pakaian baharu, pakaian tersebut boleh diletakkan di atas badan mayat tanpa prosedur AGP dan hanya dua waris lengkap vaksinasi dibenarkan sertai urusan itu.

Selain itu, turut disemak semula adalah penggunaan satu beg mayat bagi setiap jenazah atau mayat yang dijangkiti COVID-19 berbanding sebelum ini yang perlu menggunakan dua beg mayat.

Menurut Khairy, KKM tidak menetapkan jumlah waris yang boleh terlibat dalam upacara pengebumian jenazah tetapi perlu memakai PPE.

“KKM juga tidak menetapkan jumlah individu yang hadir ke upacara itu, namun perlu memakai pelitup muka dan elakkan dari bersesak-sesak,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button