Berita Utama

Kaji selidik mansuh hukuman mati bersifat berat sebelah: Peguam

Soalan diberikan tak relevan, nampak sangat nak berselindung

KUALA LUMPUR, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Kaji selidik yang dilakukan kerajaan untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori dilihat bersifat berat sebelah.

Peguam, Lukman Sheriff Alias menyifatkan beberapa soalan yang diberikan dalam kaji selidik Jabatan Penerangan itu tidak wajar dan relevan.

Katanya, soal selidik yang diperoleh daripada ‘group’ liberal itu seolah-olah berselindung dan tiada penerangan jelas mengenai hukuman mandatori.

“Teruk betul soalan-soalan ini. Buruk perangai. Nampak sangat nak berselindung.

“Satu, terangkanlah hukuman mandatori ini terpakai kepada 11 kesalahan sahaja termasuk pembunuhan dan perang ke atas Agong. Susah sangat ke nak beritahu?

“Kenapa tidak tanya sama ada rakyat tahu tak kesalahan-kesalahan ini,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Lukman berkata, setelah perkara itu diterangkan, maka sesuailah untuk meminta pandangan orang ramai sama ada hukuman mandatori itu mahu dikekalkan atau tidak.

“Ini tidak. Dalam kaji selidik ini kalau mahu hukuman gantung mandatori ada lebih soalan. Kalau tolak hukuman mati kurang soalan.

“Siapa mahukan hukuman mati mandatori kena beri alasan, kalau tidak tak boleh submit. Kalau tolak tak payah beri alasan. Apa ke benda ‘bias’ sangat ni,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyelar tempoh empat hari yang ditetapkan untuk menjalankan kaji selidik itu.

“Apa punya kaji selidik kementerian ini? Nanti nak bagi alasan yang menolak berdasarkan ignorance ke? Kepada yang menjawab, sila lihat lampiran bawah untuk contoh jawapan.

“Copy aje sebab soalan sungguh bias. Tak payah pakai brain power. Soalan 1, 2 dan 3 terpulang dan jawab macam mana. Soalan tiga apa tujuannya pun tak tahu,” selarnya.

Pada 10 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Wan Junaidi memaklumkan, keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button