Berita UtamaDunia

Lebih 300,000 penduduk terkorban akibat perang di Syria

Anggaran PBB hanya sebahagian daripada semua kematian

GENEVA, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, 306,887 orang awam terbunuh di Syria ketika konflik sejak Mac 2011.

Konflik Syria berpunca daripada protes aman terhadap pemerintahan Presiden Bashar al-Assad pada Mac 2011 dan berubah menjadi konflik berpanjangan pelbagai pihak.

Keganasan dan krisis kemanusiaan berterusan dengan jutaan orang masih kehilangan tempat tinggal di dalam sempadan Syria.

Angka kematian terkini – berdasarkan lapan sumber maklumat dan meliputi 10 tahun pertama konflik sehingga Mac 2021 – berjumlah 83 kematian secara purata setiap hari dengan 18 daripadanya kanak-kanak.

“Tahap kematian orang awam dalam tempoh 10 tahun yang lalu mewakili 1.5 peratus daripada jumlah penduduk Republik Arab Syria pada permulaan konflik.

“Ia menimbulkan kebimbangan serius mengenai kegagalan pihak-pihak dalam konflik untuk menghormati kemanusiaan antarabangsa, norma undang-undang mengenai perlindungan orang awam,” menurut laporan yang diberi mandat oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Anggaran itu bagaimanapun dianggap mewakili ‘hanya sebahagian daripada semua kematian’, kata laporan itu.

Ini kerana ia hanya termasuk mereka yang mati akibat perang langsung dan bukan kematian tidak langsung kerana kekurangan penjagaan kesihatan atau akses kepada makanan dan air malahan tidak termasuk kematian bukan sivil.

Laporan PBB bersama kenyataan itu menunjukkan, punca utama kematian orang awam adalah daripada apa yang dipanggil ‘pelbagai senjata’ (35.1 peratus) yang termasuk pertempuran, serangan hendap dan pembunuhan beramai-ramai.

Punca kedua kematian adalah oleh senjata berat (23.3 peratus).

PBB tahun lalu berkata, sekurang-kurangnya 350,209 orang terbunuh di Syria setakat ini.

Bagaimanapun, Francesca Marotta, yang bertanggungjawab ke atas metodologi di pejabat hak PBB menjelaskan pada Selasa bahawa angka itu juga termasuk bukan orang awam. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button