Berita UtamaIstimewa

PAS jangan mengalah, terus jadi ‘orang tengah’ demi penyatuan ummah

Kuasa politik orang Melayu terancam akibat kelemahan pemimipin sendiri

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Demi penyatuan ummah Melayu-Islam, PAS tidak boleh mengalah sebaliknya terus kekal berperanan menjadi orang tengah dalam krisis politik sekarang.

Ini kerana, kuasa politik orang Melayu tidak boleh terjejas dan terancam akibat kelemahan pemimipin kita sendiri.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, PAS perlu terus memainkan peranan sebagai orang tengah dalam pergelutan politik yang berlaku.

Katanya, PAS telah lama berdepan krisis, bukan sahaja dalam parti sendiri, tetapi turut melalui krisis-krisis dengan parti politik Melayu lain.

“Dalam konteks Muafakat Nasional (MN) yang tidak dibubarkan lagi, PAS boleh menjadi orang tengah supaya kuasa politik orang Melayu tidak akan terjejas,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendirian PAS yang tetap mahu mempertahankan MN meskipun UMNO dilihat seolah-olah sudah tidak berminat.

UMNO bertegas untuk berdiri solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Dr Mohd Tawfik melahirkan keyakinan yang tinggi kepada PAS berdasarkan pengalaman dan cabaran yang pernah dilalui parti tersebut.

“Walaupun apa yang berlaku sekarang mengecewakan parti itu, tetapi saya tidak melihat perkara itu sebagai halangan.

“Sebaliknya saya yakin PAS mampu memperkukuhkan MN dan menjadi orang tengah kepada perang saudara dalam UMNO,” tegas beliau.

Ditanya mengenai krisis dalam UMNO yang melanda susulan pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang turut membongkar kepincangan pimpinan presiden parti, beliau menjelaskan, UMNO memerlukan pemimpin yang baharu.

Katanya, tindakan segera perlu dilakukan demi maruah dan masa depan UMNO.

Justeru, presiden perlu berundur dengan segera supaya tidak menghancurkan parti yang berusia 76 tahun itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button