Berita Utama

Polis nafi sebar gambar kecederaan Bella

Saksi dakwa semua barang kes dianalisis ikut prosedur ditetapkan

KUALA LUMPUR, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa gambar-gambar kecederaan yang dialami remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella yang dipaparkan di laman Facebook seorang aktivis wanita, bukan dibocorkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Juruanalisis Unit Siasatan Audio Video Makmal Forensik PDRM, Insp Mior Samsul Abd Rahman berkata, beliau tidak mengetahui gambar-gambar membabitkan kecederaan remaja itu disebarkan aktivis dikenali sebagai Mona Din di dalam Facebook miliknya pada 12 Ogos 2021 diperoleh daripada sumber mana.

Disoal peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bahawa gambar-gambar itu dibocorkan oleh Mona Din bersumberkan daripada telefon bimbit yang ada pada milikan pihak polis, saksi itu menjawab: Itu saya tidak tahu.

Asiah: Saya cadangkan ketika inspektor membuat analisis pada kandungan telefon bimbit dan menyiapkan laporan pada 9 Ogos 2021, telefon bimbit itu berada di tangan pihak polis sepanjang masa, setuju?

Mior Samsul: Ya, sepanjang masa telefon bimbit itu berada di tangan saya.

Saksi pendakwaan ke-10 itu menolak cadangan peguam bahawa ada pegawai lain selain dirinya yang mengendalikan telefon bimbit tersebut dan membocorkan gambar-gambar itu kepada orang awam.

Terdahulu, Mior Samsul berkata, semua barang kes dianalisis mengikut prosedur ditetapkan serta peralatan yang digunakan untuk menganalisis berada dalam keadaan baik.

Mior Samsul dalam pernyataan saksinya sebelum ini berkata pada 22 Julai 2021, beliau menerima permohonan analisis berkaitan kes itu dan menerima barang kes iaitu sebuah telefon bimbit jenama iPhone bersama satu kad sim Maxis yang dihantar oleh Insp Suhaili Mahad.

Menurut Mior Samsul permohonan pegawai penyiasat dalam kes itu adalah untuk menjelaskan gambar kecederaan daripada video bertarikh 24 Jun 2021.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button