Berita UtamaDunia

Presiden Ukraine kongsi momen peluru berpandu Russia letupkan pusat beli belah

18 nyawa terkorban, 59 cedera dan 21 lagi masih hilang

KYIV, 29 Zulkaedah 1443H, Rabu – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berkongsi video tentera Russia meletupkan sebuah pusat membeli-belah dalam serangan terbaharu di bandar Kremenchuk, sehingga meragut 18 nyawa.

Zelenskyy memberi ucapan kepada rakyat Ukraine dengan berkongsi momen tragis ketika peluru berpandu menghempas ke pusat beli-belah sekali gus menghasilkan letupan kuat.

“Hari ini, saya ingin mengakhiri ucapan dengan dengan satu bukti jelas yang sangat dahsyat.

“Tiada siapa yang berani menipu mengenai serangan peluru berpandu yang berlaku di pusat beli-belah di Kremenchuk,” katanya ketika mengakhiri ucapan secara maya.

Turut kelihatan dalam video berkenaan pengunjung pusat membeli-belah bergegas meninggalkan bangunan untuk menyelamatkan diri sejurus selepas letupan berlaku.

Peluru berpandu tersebut, yang dikenal pasti sebagai peluru berpandu KH 22 yang biasanya digunakan untuk menyasarkan kapal besar, menyebabkan kerosakan besar di kawasan yang luas.

Seorang pengunjung, Kateryna Romashyna berkata, ketika kejadian menggerunkan dia baru tiba ke tempat berkenaan sebelum terdengar letupan kuat.

Letupan kedua juga dikesan kira-kira 10 minit kemudian.

“Semua pengunjung meninggalkan bangunan apabila siren dibunyi dan menyebabkan semua berhimpun di satu sudut yang menempatkan mangsa-mangsa yang cedera di kawasan berhampiran.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri, Denis Monastyrsky berkata, beberapa mayat tidak berjaya dikeluarkan berikutan terbakar dan sukar dikesan.

Selain 18 terkorban, 59 dilaporkan cedera manakala 21 lagi dilaporkan masih hilang dan belum dikesan.

Serangan tersebut mengingatkan serangan awal oleh Russia yang berlaku di pawagam, stesen kereta api dan hospital yang disifatkan sebagai serangan pengganas paling berani dalam sejarah Eropah. – Agensi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button