Berita UtamaDunia

12 rangkaian bar Holywings di Jakarta ditutup akibat hina Islam

Promosi minuman alkohol percuma untuk individu bernama Muhammad atau Maria

JAKARTA, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pihak berkuasa Indonesia menutup operasi bar dan rangkaian restoran Holywings di Jakarta kerana tidak memiliki lesen untuk menghidangkan alkohol.

Bar itu mulai tular dan menerima tentangan hebat di Indonesia susulan membuat promosi menawarkan minuman alkohol percuma untuk individu bernama Muhammad atau Maria.

Polis berkata, pekerja bar tersebut melakukan promosi itu dalam usaha untuk memenuhi sasaran jualan.

Namun, promosi itu yang disifatkan menghina agama Islam telah menimbulkan rasa berang kumpulan agama dan umat Islam di sana hingga mendorong kepada siasatan polis.

Berikutan itu, enam pekerja Holywings didakwa mengikut undang-undang menghina agama, yang boleh dihukum penjara lima tahun sehingga maksimum 10 tahun.

Dalam catatan media sosial yang kemudiannya dipadamkan, bar itu menawarkan sebotol gin percuma untuk pelanggan bernama Muhammad atau Maria setiap Khamis.

Rangkaian bar dan restoran itu memohon maaf atas promosi tersebut, yang dikatakan dibuat tanpa pengetahuan pihak pengurusan.

Indonesia memenjarakan lebih 150 orang, kebanyakannya daripada agama minoriti, sejak undang-undang menghina agama diluluskan pada 1965, berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Human Rights Watch.

Sementara itu, Ketua Umum Kongres Perikatan Pekerja Indonesia (KASBI), Nining Elitos berkata, syarikat Holywings tidak seharusnya terlepas daripada tanggungjawab terhadap enam pekerja mereka yang kini dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, Holywings seolah-olah ‘mengorbankan’ pekerjanya sendiri.

“Holywings juga tidak boleh melepaskan tanggungjawabnya kepada pekerjanya juga. Apabila sampai ke proses undang-undang seperti ini, pekerja kemudian menjadi mangsa lagi,” kata Nining ketika dihubungi CNNIndonesia.com.

Nining berkata, daripada segi hubungan pekerjaan, seseorang pekerja lazimnya bekerja atas arahan pihak atasan.

Enam kakitangan Holywings yang dinamakan sebagai suspek ialah pengarah kreatif, ketua kumpulan promosi, kunpulan kempen, kumpulan rumah produksi, pereka grafik dan pentadbir media sosial.

Justeru, Nining turut mengingatkan syarikat supaya menunaikan kewajipan mereka terhadap pekerja. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button