Berita Utama

Harga ayam kita antara terendah banding negara ASEAN lain

Dasar subsidi bantu bendung inflasi hanya 2.8 peratus pada Mei

BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Harga ayam di Malaysia antara yang terendah berbanding negara-negara lain di rantau ASEAN.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pemberian subsidi adalah antara usaha kerajaan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, untuk ayam dan telur sahaja, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion dari bulan Februari sehingga Ogos tahun ini, dengan keseluruhan unjuran perbelanjaan subsidi bagi tahun 2022 kini mencecah RM77.7 bilion.

“Ini sudah tentu bagi membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup.

“Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, rantaian bekalan dunia masih terganggu dengan harga minyak mentah kekal melebihi USD100 se tong sejak hujung Mac lalu, maka kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya.

“Kita masih menghadapi tekanan inflasi dan berdasarkan simulasi oleh Jabatan Perangkaan Negara, tanpa sebarang subsidi kerajaan, kadar inflasi Malaysia bagi bulan Mei 2022 boleh mencecah sehingga 11.4 peratus, namun dasar subsidi telah membantu membendung inflasi di Malaysia pada tahap 2.8 peratus.

“Walau bagaimanapun, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan akan terus memberikan subsidi dan bantuan tunai bagi melindungi rakyat,” katanya.

Semalam, Jemaah Menteri telah memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam sebaliknya meneruskan subsidi dan menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram di Semenanjung Malaysia mulai esok.

Menerusi data daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang dikongsikan Tengku Zafrul, harga ayam di Malaysia adalah antara terendah berbanding Thailand, Indonesia, Brunei, Singapura, Filipina dan Vietnam.

Harga ayam di Thailand ditetapkan RM11.65 untuk 1.2kg hingga 1.4kg, Indonesia (RM12.44), Brunei (RM14.65), Singapura (RM24.25), Filipina (RM16.59) dan Vietnam RM23.09 bagi 1.2kg hingga 1.4kg.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button