Dunia

Jalan kaki rentas 11 negara, lelaki Iraq tunai impian ke Tanah Suci

Adam Muhammad ambil masa 11 bulan untuk sampai ke Makkah

MAKKAH, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Seorang jemaah haji Iraq akhirnya tiba di Makkah selepas hampir 11 bulan berjalan kaki merentasi 11 negara untuk sampai ke Tanah Suci.

Meskipun dianggap mustahil, impian Adam Muhammad, 52, untuk menjejakkan kaki ke Makkah – walaupun memakan masa berbulan-bulan dengan hanya berjalan kaki – telah berjaya dicapai.

“(Menunaikan) haji adalah keinginan saya yang paling agung dan paling saya impikan,” katanya selepas sampai di Makkah, menunaikan umrah serta menghabiskan masa di sekitar Kaabah.

Adam yang menetap di Britain selama kira-kira 25 tahun, mempunyai impian untuk melakukan perjalanan ibadah ke Makkah bagi menunaikan haji.

“Sejak perintah berkurung dikuat kuasakan berikutan penularan COVID-19, saya menyibukkan diri dengan membaca dan memahami al-Quran.

“Dan selepas setahun setengah mempelajari kitab suci itu, suatu hari saya bangun dari tidur dengan gerak hati yang menyuruh saya berjalan kaki ke Makkah,” katanya.

Adam memulakan perjalanannya dari Britain pada 1 Ogos 2021 bersama troli tiga roda untuk membawa barangan peribadinya.

Dia berkata, persiapannya untuk menunaikan haji hanya mengambil masa dua bulan, dan sebuah pertubuhan British ada menghulurkan bantuan kepadanya.

Berkongsi kisah yang sukar itu, Adam berkata, dia tidak menghadapi sebarang halangan besar sepanjang perjalanan ke Makkah.

“Tiada kesukaran besar kecuali penahanan pihak berkuasa polis di beberapa negara untuk bertanyakan mengenai keberadaan saya tetapi mereka terkejut apabila mengetahui misi unik saya.

“Ramai orang membantu saya dalam perjalanan, tetapi saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakannya adalah kerana Allah dan bukan untuk mencipta sebarang rekod.

Pada masa sama, Adam turut berterima kasih kepada rakyat Arab Saudi yang bermurah hati sejak dia tiba di Tanah Suci, dan memaklumkan kini dalam fasa persediaan menunaikan ibadah haji minggu depan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button