Berita Utama

Peguam Negara nafi wujud pendakwaan terpilih kes Sanusi

Pertuduhan berdasar keterangan, fakta hasil dari siasatan

KUALA LUMPUR, 1 Muharram 1445H, Rabu – Jabatan Peguam Negara menafikan dakwaan wujudnya pendakwaan terpilih, bermotif politik dan penganiayaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan untuk mengenakan pertuduhan terhadap mana-mana orang adalah berdasarkan keterangan serta fakta hasil daripada penyiasatan dan bukannya atas desakan pihak atau faktor lain.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan keterangan dalam kertas siasatan, tidak memihak kepada sesiapa berlandaskan teras integriti bagi memastikan mangsa, saksi, tertuduh dan orang awam memperoleh keadilan yang sewajarnya selaras dengan bidang kuasa Peguam Negara yang diperuntuk di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan berlaku pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik dan penganiayaan baru-baru ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di dua Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Idrus berkata, sekiranya terdapat keterangan dan bukti kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang, individu itu akan didakwa oleh Jabatan Peguam Negara berdasarkan peruntukan undang-undang tanpa mengira status serta latar belakang orang yang didakwa.

Semalam, Muhammad Sanusi ditahan polis pada kira-kira 3 pagi di Kuala Lumpur selepas gagal dihubungi polis bagi memaklumkan beliau supaya hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang di Selangor.

Beliau kemudian mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan menghasut itu.

Susulan pendakwaan terhadap Muhammad Sanusi, beberapa pihak mengkritik tindakan undang-undang dan penahanan Menteri Besar Kedah itu pada awal pagi yang disifatkan sebagai pendakwaan terpilih bermotifkan politik. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button