Berita Utama

Mansuh subsidi: Kerajaan ambil pendekatan populis raih perhatian rakyat

Sekalipun ada penyelewengan, perlu cari langkah yang jaga kepentingan rakyat

BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram mulai esok bukanlah waktu yang sesuai, memandangkan ramai rakyat masih terjejas meskipun negara sudah beralih ke fasa endemik.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan percaya langkah pemansuhan ini dibuat selepas kerajaan mengambil kira situasi pasca COVID-19, kononnya rakyat kini sudah kembali bekerja dan mempunyai pendapatan.

Maka, atas dasar itu kerajaan mengambil pendekatan memansuhkan pemberian subsidi minyak masak berbotol dan mengembalikannya kepada harga asal.

“Di sebalik pengumuman pemansuhan ini, kita dikejutkan juga dengan kenaikan gaji di pihak pengurusan FGV dan beberapa lagi faktor lain.

“Tatkala rakyat semakin menderita dengan ekonomi dunia dan ketidakcukupan bekalan makanan, tiba-tiba subsidi pula ditarik. Ini suatu yang besar,” katanya dalam rancangan Dimensi di TV Pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi menyifatkan langkah kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu sebagai pendekatan populis untuk mendapatkan perhatian rakyat.

Beliau yakin kerajaan hari ini tidak melihat situasi sebenar di lapangan, bagaimana realiti ketidakcukupan bekalan minyak masak.

“Baru saja saya keluar daripada kedai runcit dan saya lihat tiada lagi stok minyak masak bersubsidi.

“Sebenarnya pengumuman Perdana Menteri ini adalah tindakan seorang ahli politik yang menggunakan populis sebagai gaya untuk mendapatkan perhatian,” katanya.

Beliau berkata, sekalipun berlaku penyelewengan minyak masak berbotol, kerajaan sewajarnya mencari langkah penyelesaian lain berbanding memutuskan untuk memansuh pemberian subsidi.

Merujuk situasi di Turki, Ustaz Fahmi berkata, di saat negara itu berdepan krisis ekonomi yang teruk, kerajaan campur tangan dalam suatu pertimbangan antara keuntungan atau faedah diambil oleh syarikat besar, pengeluar dan pengguna.

“Apabila campur tangan jangka panjang berlaku, memang kerajaan ada hak untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat besar ini mengambil keuntungan yang lebih rendah bagi memberi peluang kepada rakyat mendapat harga sepatutnya.

“Kerajaan Malaysia sengaja membiarkan syarikat besar pengeluar minyak masak ini untung besar,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak botol dimansuhkan bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil untuk jangka masa panjang.

Setakat ini, untuk subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan.

Tonton penuh rancangan Dimensi;

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button