Berita Utama

Mat Kilau raih RM23 juta seminggu

Penonton akui tak jemu tonton filem epik Melayu banyak kali

BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencipta sejarah apabila meraih kutipan lebih RM20 juta selepas seminggu ditayangkan.

Filem epik arahan Syamsul Yusof – yang ditayangkan sejak 23 Jun lalu itu – membawa fenomena baharu kepada industri perfileman Malaysia dengan kutipan tertinggi pada minggu pembukaan dan terpantas untuk meraih RM23 juta dalam masa tujuh hari.

Perkara itu dikongsikan TGV Cinemas menerusi laman sosialnya, hari ini.

Sambil meluahkan rasa syukur di atas pencapaian membanggakan itu, Datuk Adi Putra yang menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau mengajak orang ramai untuk terus memberi sokongan kepada filem epik Melayu berkenaan.

“Alhamdulillah syukur! Jutaan terima kasih kepada semua. Teruskan menonton filem Mat Kilau kini masuk minggu kedua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada masa sama, tinjauan Ismaweb.net mendapati, rata-rata pengguna media sosial tidak berasa jemu untuk menonton filem terbitan Studio Kembara walaupun mengakui sudah menyaksikannya berulang kali.

“MasyaAllah Tabarakallah. Saya dah tengok kali kedua. Memang terbaik,” kata Shuhada Muhammad.

“Alhamdulillah. Memang padu sangat-sangat filem epik tahun ini. Mat Kilau yang menyemarakkan pejuang-pejuang terdahulu yang sanggup berkorban demi agama bangsa dan negara. Hari Ahad ini turun lagi,” itu pula kata Aiman Zamila.

Selain memuji kehebatan pelakon menjayakan watak masing-masing, ada juga meluahkan rasa tersentuh dengan mesej yang cuba disampaikan menerusi filem itu.

“Alhamdulillah, cerita yang membuatkan ramai menghayati dengan lebih mendalam antara perjuangan dalam mendapat hak Melayu Islam kita. Filem paling terbaik!” kata Wawa Mazwa Din.

“Tahniah. Jalan cerita sampai ke jiwa. Bila tengok rasa nak marah, menangis dan meremang tiba-tiba.

“Watak pelakon terbaik dengan peranan masing-masing. Teruskan perjuangan berkarya dengan seikhlas hati. Insya-Allah hasilnya menakjubkan,” kata Baharin Shah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button