Menteri Agama ucap tahniah pada penerbit Mat Kilau, kagum kutipan lebih RM20 juta
Mesej dakwah dalam filem Mat Kilau bangkit semangat jati diri Islam

BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyifatkan filem epik Mat Kilau yang menjadi fenomena ketika ini berjaya membangkitkan semangat jati diri Islam.
Bangga dan kagum dengan sambutan filem terbitan Studio Kembara itu, beliau berkata, unsur nasihat serta ikatan ukhwah yang kuat dirangkum di dalam Mat Kilau membawa mesej dakwah kepada masyarakat.
Justeru, Idris berkata, filem yang beraspirasikan tokoh pahlawan negara itu boleh menjadi contoh kepada industri perfileman negara.
“Ia juga menjadi amal jariah kepada penerbit, pengarah filem, pelakon serta krew produksi dan seluruh yang terlibat.
“Filem Mat Kilau adalah hasil kerja dan usaha gigih mereka bersama. Lebih RM20 juta dalam tempoh seminggu,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Idris memaklumkan mengundang pasukan Studio Kembara dan penerbit Mat Kilau, Abdul Rahman Mat Dali ke pejabatnya di Putrajaya, hari ini.
“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Tuan Haji Abdul Rahman Mat Dali, Pengarah Urusan Studio Kembara dan seluruh teman-teman selaku penerbit filem Mat Kilau.
“Tahniah juga buat saudara Syamsul Yusof selaku pengarah, seluruh barisan pelakon dan warga produksi filem Mat Kilau,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama akan menganjurkan Majlis Anugerah Media pada Januari tahun depan.
“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diberikan amanah untuk menjadi sekretariat anugerah ini. Anugerah yang akan mengiktiraf karya-karya kreatif berunsurkan Islam.
“Teruskan berkarya. Saya sentiasa doakan perjuangan kalian semua. Siiru ‘ala barakatillah,” katanya.