MPN sudah gagal, dakwa Ahmad Zahid
Bubarkan saja untuk beri kelapangan kepada menteri daripada hadir mesyuarat majlis tiada kesan

BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa penubuhan Majlis Keselamatan Negara (MPN) sejak awal tidak membuahkan hasil dan hanya berfungsi sebagai penasihat kerajaan sahaja.
Walhal, katanya, fungsi berkenaan boleh dan sedang dilakukan oleh badan pemikir berkaliber seperti Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) serta badan pemikir lain yang selama ini bergiat aktif memberi nasihat termasuk syor kepada kerajaan.
Ekoran itu, Ahmad Zahid menggesa kerajaan membubarkan sahaja majlis berkenaan untuk memberi kelapangan kepada kementerian dan daripada melayan dan menghadiri mesyuarat majlis yang tidak berkesan.
“Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dianggotai beberapa menteri.
“Ia merupakan langkah yang baik, sejajar dengan saranan saya untuk Kerajaan Persekutuan menangani masalah inflasi, kos sara hidup dan sekuriti makanan dengan lebih tersusun melalui kerjasama rentas kementerian,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan perlu sedar bahawa dengan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, MPN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi berkesan.
Menyifatkan MPN sudah gagal, Presiden UMNO itu bahkan berkata, ia tidak lagi diperlukan dan bercanggah dengan usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.
“Saya ingin menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menggunakan platform berlainan bagi menyumbang idea dan saranan sebagai mantan Perdana Menteri, seperti menerusi Yayasan Kemimpinan Perdana bersama-sama Tun Dr Mahathir. Itu lebih elok,” katanya.