Dunia

Penjajah Israel terus ceroboh rumah, tangkap dan culik penduduk Palestin

Serbu kem pelarian, geledah dan curi wang bekas tahanan

RAMALLAH, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis  – Tentera pengganas Israel hari ini menangkap 15 rakyat Palestin, kebanyakannya dalam serbuan di seluruh Tebing Barat.

Menurut sumber tempatan dan keselamatan, seorang warga Palestin ditangkap selepas rumah keluarganya di bandar Ni’lin, barat bandar Ramallah diceroboh dan digeledah. 

Rejim turut menahan tiga lagi, termasuk seorang bekas banduan dari kampung Abu Shukheidim, barat laut bandar itu.

Pasukan khas Israel menyerbu sebuah rumah di kem pelarian al-Am’ari, selatan bandar al-Bireh dan menahan seorang lagi penduduk Palestin. 

Di daerah Salfit, sumber mengesahkan serbuan di bandar Qarawat Bani Hassan, barat laut bandar itu, menyebabkan dua yang lain ditahan.

Di daerah Nablus, bekas tahanan Palestin, Jaser Abu-Amr berkata, tentera Israel mengepung rumahnya, menyerang, menggeledah dan merampas kira-kira 1,600 shekel (kira-kira AS$460) termasuk sebuah kenderaan Subaru miliknya.

Di daerah Tulkarm, tentera bersenjata lengkap menyerbu bandar Anabta, timur bandar utara Tebing Barat dan menahan seorang warga Palestin selepas menggeledah rumah keluarganya. 

Di daerah Jenin, konvoi kenderaan tentera menyerbu bandar Arraba – selatan bandar utara Tebing Barat – di mana askar menceroboh sebuah rumah kononnya bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh sebelum menahan kembali seorang bekas tahanan Palestin. 

Di daerah Bethlehem, tentera melakukan serbuan sama di kem pelarian Aida, selatan Tebing Barat, dan membawa kepada penahanan dua yang lain.

Pasukan khas Israel turut dilaporkan menyelinap masuk ke Jalan Bethlehem-Hebron, berhampiran dengan kem pelarian Dheisha, dan menculik seorang penduduk.

Di tempat lain di selatan Tebing Barat, tentera mengepung sebuah rumah di kem pelarian al-Arroub, utara Hebron, memecah masuk dan kemudian menahan seorang lagi warga Palestin. 

Di Baitulmaqdis, polis menahan dua daripada pengawal yang dilantik oleh Wakaf di perkarangan Masjid Al-Aqsa dan menyerang mereka di sekitar Pintu Faisal.

Sementara itu, Pusat Maklumat Wadi Hilweh menyiarkan rakaman video yang memaparkan dua kanak-kanak menangis di dalam sebuah kenderaan selepas polis Israel menahan ibu bapa mereka malam tadi, di kawasan komersial kolonial Talpiot, yang dibina di atas tanah Palestin Baqaa dan Beit Safafa.

Tentera Israel kerap menyerbu rumah Palestin hampir setiap hari di seluruh Tebing Barat dengan alasan mencari warga Palestin yang ‘dikehendaki’ sehingga mencetuskan pertempuran dengan penduduk.

Di bawah undang-undang tentera Israel, komander tentera mempunyai kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman penuh ke atas tiga juta rakyat Palestin yang tinggal di Tebing Barat. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button