Yakin menang besar PRU15 serlah sikap ego UMNO
BERJASA pelawa PAS kerjasama dengan Jajaran Baharu

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 30 Zulkaedah 1443H, Khamis – Keyakinan UMNO mampu menang besar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) – tanpa Muafakat Nasional – menyerlahkan sikap ego dan tamak parti itu yang tidak menguntungkan rakyat.
Sekalipun menang PRU15, ia tidak membawa makna kepada agenda rakyat serta negara sekiranya parti itu sarat dengan perpecahan dalaman.
Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim percaya keyakinan UMNO untuk bergerak solo dibina atas dasar kemenangannya pada dua Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor sebelum ini.
“Negara memerlukan barisan kepimpinan baharu, muka baru serta berwibawa untuk membina semula keunggulan negara serta bermaruah.
“Agenda besar ini tidak ada dalam ‘road map’ UMNO, yang dicanang setiap hari ialah UMNO nak berkuasa,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas situasi semasa politik negara dan hala tuju kerjasama parti-parti Melayu dalam mendepani PRU15 tidak lama lagi.
Mengulas kedudukan PAS ketika ini, Ustaz Zamani berpandangan bahawa parti itu perlu menjangkau lebih jauh daripada sempadan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekiranya serius ingin membina semula negara.
Justeru, beliau menyarankan PAS untuk terbuka berbincang dan mengadakan sesi meja bulat dengan parti-parti lain walaupun bersaiz kecil.
“Kekuatan PAS untuk mengikat UMNO dengan Muafakat Nasional dan Bersatu dengan Perikatan Nasional tidak ada.
“PAS boleh ditinggalkan tanpa izin UMNO dan juga Bersatu apabila parti tersebut mendapat peluang tanpa PAS,” katanya.
Memandangkan BERJASA sedang membina kekuatan sokongan dan kerjasama dengan beberapa parti, pimpinan NGO dan tokoh nasional, Ustaz Zamani mempelawa PAS untuk turut serta dengan Jajaran Baharu atas slogan Bersama Pimpin Negara.
“Tinggalkanlah budaya kerja ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’ kepada budaya kerja ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’,” katanya.