Berita UtamaIstimewa

Banyak ‘politiking’ punca orang muda bosan, jauh diri dari politik

Sudah tiba masa krisis dalaman diselesai dengan berhemah, matang

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Pemimpin-pemimpin Melayu perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemah dan berbincang mengenai krisis dalaman bagi memastikan masalah tidak berlanjutan, termasuk membuatkan orang muda berterusan menjauhkan diri daripada perjuangan politik.

Justeru, persepsi golongan muda terhadap politik juga perlu diubah supaya ‘golongan berharga’ ini dapat bersama-sama membantu merancakkan suasana politik negara, sekali gus menjadi pelapis kepada pemimpin masa depan negara.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub menjelaskan, orang muda kini dihidangkan dengan ‘politiking’ berterusan dan situasi itu membuatkan mereka semakin bosan serta menjauhkan diri daripada politik.

“Kesan ini bukan sahaja dapat dilihat kepada kepada UMNO tetapi kepada Pakatan Harapan (PH) kerana setiap parti seperti Barisan Nasional (BN), PH, Perikatan Nasional (PN) menunjukkan pengalaman politik masing-masing.

“Perbalahan politik dalam UMNO akan menyebabkan sehingga orang muda terlalu benci kepada parti-parti Melayu. Malah, pengalaman yang berlaku pada zaman pemerintahan PH iaitu tikam-menikam antara satu sama lain lebih besar isunya sehingga menjatuhkan kerajaan.

“Situasi tersebut hanya menyebabkan mereka tawar hati dan akhirnya lebih menjauhkan diri daripada dunia politik,” katanya ketika dihubungi Ismaweb,net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas senario yang berlaku dalam politik negara ini sehingga menyebabkan golongan muda semakin menarik diri dan tidak berminat langsung kepada dunia politik.

Mengulas lanjut, penganalisis politik itu berpandangan, golongan muda kini tidak berminat dengan perjuangan kerana bagi mereka tiada pembaharuan dan perubahan berlaku, sebaliknya hanya usaha ke arah merebut kuasa serta jawatan.

“Itu yang perlu kita ubah kepada golongan belia, perlu perjelaskan perjuangan sebenar dalam politik yang bukan sahaja untuk membela nasib bangsa dan rakyat tetapi adalah untuk memajukan negara.

Atas dasar itu, beliau menegaskan sudah tiba masa setiap permasalahan dan krisis dalaman diselesaikan dengan cara yang yang lebih berhemah dan matang.

“Bagi saya boleh diselesaikan dengan cara yang berhemah, pemimpin-pemimpin Melayu duduk berbincang untuk memastikan masalah tidak berterusan dan tidak membuatkan orang muda dan belia menjauhkan diri daripada parti-parti Melayu lain,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button