Berita Utama

Tiada syarikat di Malaysia dapat lesen import, jual air zamzam

Orang ramai dinasihat waspada iklan di e-dagang, dikhuatiri tiruan

BANGI, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Tiada pengedar atau syarikat di negara ini yang mendapat lesen bagi mengimport atau menjual air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semulajadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Beliau berkata, pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air KKM setelah mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

“Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan tersebut kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

“Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zamzam yang tidak berlesen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, air zamzam yang diiklankan atau dijual dalam pasaran di negara ini adalah diragui ketulenannya.

Dr Noor Hisham berkata, hasil aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan KKM menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam dalam pasaran di negara ini adalah RM83,618.20.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 237 iklan makanan telah dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Daripada jumlah tersebut, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zamzam daripada media sosial,” katanya.

Malah, hasil pemantauan BKKM di media sosial pada tahun 2021 dan 2022 pula, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam telah dipadam daripada media sosial.

“Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semulajadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Justeru, KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam di kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya tiruan.

Malah, orang ramai juga disaran menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam ke pejabat kesihatan daerah atau jabatan kesihatan negeri terdekat atau melalui laman sesawang aduan awam KKM dan Facebook BKKM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button