Berita Utama

PRN Johor: PN tiada beza UMNO jika beri kerusi Melayu kepada Gerakan

Rakyat mesti berani hukum parti ketepi nasib agama, bangsa

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 17 Rejab 1443H, Sabtu – Bersatu dan PAS perlu mempamerkan jati diri hebat dengan tidak ‘menghadiahkan’ kawasan majoriti Melayu kepada Gerakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.

Sekiranya perkara tersebut berlaku atas alasan apa sekali pun, Bersatu dan PAS tidak ada bezanya dengan UMNO, tegas Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Malah, jika perkara itu berlaku beliau menyifatkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara hanya sebagai perasa tambahan kepada agenda sempit gabungan tersebut.

“Hakikatnya hari ini, tidak ada ada mana-mana parti besar yang memikirkan untung rugi tersebut kepada Melayu atau Islam.

“Rakyat harus menyedari perkara ini, oleh kerana itu, rakyat mesti berani bertindak menghukum parti yang mengenepikan perjuangan nasib agama dan bangsanya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau yang berkata, parti itu akan bertanding lebih dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.

Bagaimanapun Dominic berkata, bilangan sebenar kerusi yang bakal ditandingi akan diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 Februari ini.

Mengulas lanjut, Ustaz Zamani menegaskan, PRN Johor sebenarnya merupakan medan dan peluang untuk rakyat membuktikan kebencian kepada parti yang memperkudakan bangsanya demi memenuhi agenda politik sempit.

“Inilah masa yang sebenar, seharusnya rakyat perlu gunakan saat ini untuk buktikan parkara tersebut yang dilihat lebihkan agenda peribadi berbanding bangsa dan negara,” dakwanya.

Beliau menjelaskan parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan sebenarnya membawa agenda bangsa mereka.

“DAP bersama dengan Pakatan Harapan, MCA berada dalam Barisan Nasional (BN) dan Gerakan disusun untuk berada bersama PN, inilah strategi matang bagi parti yang membawa agenda untung rugi bangsa mereka,” dakwanya.

Pautan berkaitan;

PRN Johor: Gerakan bakal bertanding lebih 2 kerusi DUN

 

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button