Uncategorized

2 hospital kerajaan didakwa berdepan isu kekurangan doktor

Gerakan Hartal Doktor Kontrak dedah pengurusan HKL adakan perbincangan hari ini

BANGI, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Dua hospital kerajaan bakal berdepan krisis kekurangan pegawai perubatan dalam masa terdekat, berikutan pergerakan keluar pegawai-pegawai Perubatan Junior (Floaters) yang mendapat penempatan di negeri lain bermula 18 Julai ini.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak mendedahkan dua hospital itu adalah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tuanku Azizah dan menyifatkan krisis itu membimbangkan berikutan jumlah kakitangan sedia ada di hospital berkenaan memang tidak mencukupi, selain berlaku peningkatan jumlah pesakit ketika ini.

Gerakan berkenaan turut berkongsi surat jemputan bersama pihak pengurusan bagi membincangkan permasalahan itu.

“Satu surat jemputan yang berjudul ‘Sesi Perjumpaan Pegawai Perubatan Bidang Pengurusan’ dikeluarkan oleh pihak Pengurusan Tertinggi Hospital Kuala Lumpur dan menerusi surat berkenaan.

“Timbalan Pengarah Perubatan II Hospital Kuala Lumpur, Dr Marina Abdullah Sani menjemput semua pegawai perubatan pengurusan di jabatan masing-masing bagi membincangkan penyelesaian isu ini,” kata gerakan berkenaan dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sesi perbincangan diadakan di Auditorium Utama Hospital Kuala Lumpur hari ini.

“Kami sudah beritahu perkara ini akan berlaku dan ia akan menjadi lebih parah.

“Sebelum ini, mereka hanya cukup-cukup makan ada doktor untuk rawat pesakit di Hospital Kuala Lumpur, tapi sekarang mungkin tidak lagi,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan memaklumkan sehingga ke hari ini Kementerian Kesihatan (KKM) masih enggan mengakui pihaknya berdepan masalah kekurangan pegawai perubatan.

Julai tahun lalu, sekumpulan doktor kontrak di hospital-hospital kerajaan di seluruh negara yang mengadakan protes bertujuan menggesa kerajaan melunaskan dua perkara iaitu menerima doktor kontrak sebagai pegawai tetap dan diberi peluang melanjutkan pelajaran.

Bagaimanapun, pada Februari lalu hanya 4,186 doktor diserap ke jawatan tetap dan sebahagian besar masih kekal dengan status doktor kontrak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button