Berita Utama

Khutbah Arafah diterjemah ke 4 lagi bahasa termasuk Tamil

Realisasi visi Arab Saudi sampaikan mesej toleransi ke seluruh dunia

KUALA LUMPUR, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Terjemahan langsung khutbah Hari Arafah, yang dianggap antara acara terpenting dalam kalendar Islam, kini diperluas dengan memasukkan empat lagi bahasa sebagai tambahan kepada 10 bahasa sedia ada.

Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, menerusi inisiatif ini pihaknya berusaha merealisasikan visi kepimpinan Arab Saudi untuk menyampaikan mesej kesederhanaan dan toleransi ke seluruh dunia.

“Ketika terjemahan langsung khutbah Arafat memasuki tahun kelima, inisiatif itu telah diperluaskan untuk merangkumi 14 bahasa”, katanya dalam satu sesi meraikan lawatan kumpulan media tempatan ke pejabatnya pada Khamis.

Klip rakaman pengumuman itu dikongsi menerusi akaun Twitter jabatan berkenaan hari ini.

Khutbah Arafah akan disiarkan secara langsung dari Masjid Namira di Arafah, Arab Saudi menerusi stesen-stesen televisyen dan radio tempatan selain tiga aplikasi pintar (Arafat, Haramain dan Manaret Haramain) serta portal jabatan berkenaan.

Terdahulu pada pertengahan Jun, Sudais memberi bayangan akan menambah beberapa lagi bahasa terjemahan untuk teks khutbah Arafah.

Untuk rekod, inisiatif terjemahan Khutbah Arafah telah dimulakan sekitar tahun 2018 dengan hanya lima bahasa: Inggeris, Perancis, Farsi, Bahasa Melayu dan Urdu.

Tahun ini, bahasa Sepanyol, Hindi, Tamil dan Swahili dimasukkan sebagai tambahan kepada bahasa; Cina, Turkiye, Rusia, Hausa dan Bengali.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button