Dunia

Korban tanah runtuh di India meningkat, 50 masih hilang

Lapan lagi mayat ditemukan menjadikan keseluruhan 16 maut

NEW DELHI, 1 Zulhijjah 1443H, Jumaat – Jumlah korban akibat tanah runtuh di Manipur, India meningkat kepada 16 orang manakala berpuluh-puluh lagi hilang.

Bencana yang berlaku di tapak pembinaan kereta api pada Khamis itu menyebabkan berpuluh-puluh orang termasuk pekerja dan askar tertimbus di bawah runtuhan tanah.

“Sedih dengan kehilangan nyawa termasuk anggota tentera. Seramai 50 lagi mangsa yang hilang belum ditemukan,” kata Ketua Menteri Manipur N. Biren Singh pada Jumaat.

Kejadian itu berlaku berhampiran stesen kereta api Tupul di daerah Noney, kira-kira 50 kilometer dari Imphal, ibu kota Manipur.

Lapan lagi mayat ditemukan pada Jumaat, menjadikan jumlah korban kepada 16, menurut laporan di laman sesawang NDTV.

Sejak beberapa hari lalu hujan lebat melanda wilayah timur laut India.

Di negeri Assam, banjir dan tanah runtuh telah membunuh kira-kira 140 orang dan menjejaskan lebih tiga juta penduduk di 25 daerah.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button